Masjid An-Nur dirikan dewan serbaguna lebih mesra OKU, warga emas

22 May 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Masjid An-Nur dirikan dewan serbaguna lebih mesra OKU, warga emas
Wan Fakhrulrazi menunjukkan dewan serbaguna yang sedang dibina pihak masjid untuk kemudahan komuniti. Foto: Masjid An-Nur

TUMPAT – Sebuah dewan serbaguna baharu yang lebih mesra pengguna khususnya bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas kini dalam pembinaan di Masjid An-Nur, Kota Kubang Labu di Wakaf Bharu di sini bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

Imam Tua Masjid An-Nur, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood berkata, pembinaan dewan tersebut melibatkan kos kira-kira RM450,000 dan dijangka mampu memberi keselesaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut beliau, dewan sedia ada yang terletak di tingkat satu agak kurang sesuai digunakan terutama oleh warga emas dan individu yang mempunyai masalah pergerakan kerana perlu menggunakan tangga.

“Dewan baharu ini dirancang lebih mesra pengguna kerana berada di aras bawah dan lebih mudah diakses oleh semua pihak termasuk OKU serta warga emas.

“Selama ini kapasiti dewan di tingkat satu hanya mampu menampung kira-kira 100 peserta pada satu-satu masa. Keadaan itu sedikit menyukarkan terutama ketika program melibatkan ramai penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan projek pembinaan dewan serbaguna Masjid An-Nur kepada Sinar Harian di sini.

Tambah beliau, dewan tersebut bakal dimanfaatkan masyarakat setempat bagi pelbagai aktiviti termasuk majlis kenduri, walimatulurus, mesyuarat persatuan, program NGO serta kursus keagamaan seperti kursus umrah.

Menurutnya, kerja pembinaan bermula pada 25 Disember lalu dan kini mencapai kira-kira 25 peratus siap melibatkan pembinaan struktur asas termasuk kerja besi dan bumbung.

“Alhamdulillah, masyarakat setempat turut menunjukkan sokongan yang baik terhadap usaha ini. Kemudahan ini bukan hanya untuk masjid tetapi untuk kegunaan seluruh komuniti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi membantu pembinaan dewan serbaguna tersebut boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam atas nama Masjid An-Nur di nombor 03018010048197.