KOTA BHARU – Masjid An-Nur Kota Kubang Labu di Wakaf Bharu, Tumpat dipilih sebagai lokasi utama penganjuran Arafah #QuranHour 2026 peringkat Kelantan yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 26 Mei ini.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datuk Adnan Hashim berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 1,000 peserta hadir secara fizikal di masjid berkenaan selain lebih 5,000 penyertaan secara dalamtalian dari seluruh Kelantan.
Menurut beliau, program bertemakan Ummah Berbudi dan Penyayang, Satu Kebangkitan itu bakal menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti setempat.
“Kami mengalu-alukan seluruh masyarakat Kelantan untuk hadir bersama-sama mengimarahkan Arafah #QuranHour 2026 di Masjid An-Nur Kota Kubang Labu.
“Selain kehadiran secara fizikal, kami juga menyasarkan penyertaan secara dalam talian bagi membolehkan lebih ramai masyarakat mengikuti pengisian program ini,” katanya sempena jelajah kempen Arafah #QuranHour 2026 oleh PRNNK pada Jumaat.
**media[3529257]**
Beliau berkata, selain bertujuan menghayati hari Arafah, program program ini juga bertujuan mengajak masyarakat mendekati al-Quran serta menghayati nilai kasih sayang, kesatuan ummah dan pembinaan jiwa berteraskan penghayatan Surah Al-Muzzammil serta Surah Al-Hajj.
Katanya, hari Arafah merupakan detik penting untuk umat Islam bermuhasabah diri, memperkukuh hubungan dengan ALLAH SWT serta memperbanyakkan amal soleh selain berdoa.
“Arafah bukan sekadar berkaitan ibadah haji, tetapi menjadi simbol kesatuan umat Islam dan penghayatan terhadap nilai kemanusiaan serta pengorbanan.
“Sebab itu kami merayu masyarakat bersama-sama menterjemahkan kesyukuran kepada ALLAH dengan benar-benar menghayati panduan hidup manusia iaitu al-Quran melalui program seperti ini,” katanya.
Menurut beliau, program juga diisi dengan forum bertajuk The Chosen One dan slot Pesanan Ulama.
“Arafah #QuranHour ini diharap dapat menjadi medium penyatuan masyarakat serta menyemarakkan lagi budaya baca, faham, amal dan sampaikan al-Quran sebagai persiapan akhirat masing-masing,” katanya.
INFO
Jom sertai Arafah #QuranHour 2026
Tarikh: 26 Mei 2026
Masa: 9 pagi - 12 tengah hari
Lokasi: Masjid An-Nur Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan






