Masjid Beijing perlu penambahbaikan demi keselesaan pengguna

23 May 2026 • 1:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Masjid Beijing perlu penambahbaikan demi keselesaan pengguna
Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing kini memerlukan dana RM400,000 bagi kerja penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur.

RANTAU PANJANG - Di sebalik keunikan seni bina bercirikan Islam-China yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara, Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing kini memerlukan dana RM400,000 bagi kerja penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur.

Masjid yang dibina pada tahun 2009 itu mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa, namun beberapa kemudahan asas dilaporkan memerlukan perhatian segera demi keselesaan pengguna.

Imam Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Armin Azahari Mamat berkata, antara aspek yang perlu dinaik taraf ialah tempat wuduk, siling masjid, kuarters imam dan bilal serta pemasangan papan tanda baharu.

Menurut beliau, pihak pengurusan turut merancang membina laluan berbumbung selain membaiki bumbung bocor dan memperindah landskap kawasan masjid.

"Masjid ini bukan sahaja menjadi pusat ibadah masyarakat setempat, malah turut menerima kunjungan pelancong yang tertarik dengan seni bina unik berkonsepkan Islam-China.

"Justeru, kita berharap orang ramai dan pihak korporat dapat membantu menyalurkan sumbangan bagi memastikan kerja penambahbaikan dapat dilaksanakan demi keselesaan jemaah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ujar beliau, Masjid Beijing merupakan antara mercu tanda pelancongan Islam terkenal di Kelantan dan sering menjadi lokasi persinggahan pengunjung yang memasuki pintu sempadan negara melalui Rantau Panjang.

Kata beliau, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Islam bernombor 03081010014007 atas nama Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra Rantau Panjang.

View Original Article