
KUALA LUMPUR - Masjid Negara membuat permohanan maaf secara terbuka susulan isu kontroversi pengawal keselamatannya yang meminta seorang pengunjung lelaki memakai tudung baru - baru ini.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, pihak pengurusan masjid itu menjelaskan insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan teguran telah diberikan kepada pengawal keselamatan terbabit.
Masjid Negara berkata, pengawal keselamatan itu adalah lantikan pihak ketiga iaitu syarikat keselamatan yang dilantik melalui perolehan kerajaan.
“Pihak pengurusan Masjid Negara mengambil serius terhadap perkara ini dan dengan rendah hati memohon maaf di atas kekhilafan dan kekeliruan pengawal keselamatan wanita tersebut.
“Untuk makluman, pengawal keselamatan adalah lantikan pihak ketiga iaitu syarikat keselamatan yang dilantik melalui perolehan kerajaan.
“Pengawal Keselamatan terbabit telah diberi teguran agar lebih peka dalam menjalankan tugas,” katanya.
Masjid Negara juga memberi jaminan akan memastikan insiden tersebut tidak berulang dan langkah juga diambil membolehkan pengunjung mengemukakan aduan terhadap mana-mana tindakan pengawal keselamatan melalui kod imbas yang telah disediakan.
Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial berhubung insiden seorang lelaki berambut panjang ditegur oleh seorang wanita yang juga pengawal keselamatan di masjid itu agar menutup aurat ketika berada di dalam masjid tersebut.
@getaranmy Confuse kejap brother ni, banyak kali cakap saya lelaki tapi makcik tetap suruh tutup rambut #GetaranMY #Semasa #terkini ♬ original sound - Getaran
Dalam video itu, lelaki berambut panjang telah menjelaskan kepada pengawal keselamatan itu bahawa dirinya adalah lelaki namun tetap disuruh menutup rambut. – Getaran, 7 April 2024

