GOMBAK - Masjid Nurul Yaqin Kampung Melayu Seri Kundang di sini tampil dengan pendekatan berbeza apabila menganjurkan program 'Iftar Ala Madinah' bagi menghidupkan suasana berbuka puasa seperti di Tanah Suci.
Pengurus Masjid dan Imam 1, Muhammad Ruzain Mohd Ali berkata, konsep itu diperkenalkan bagi memberi pengalaman berbuka secara berjemaah dengan hidangan dikongsi dalam talam sekali gus mengeratkan hubungan dalam kalangan jemaah.
Menurutnya, pendekatan itu juga diharap dapat menghidupkan semangat kebersamaan dab budaya berkongsi rezeki dalam komuniti setempat.
"Kebiasaannya setiap tahun kita memang adakan iftar secara berjemaah di masjid, tetapi kali ini kita tampilkan konsep Iftar Ala Madinah dengan makan dalam talam supaya suasana itu lebih terasa seperti di sana.
"Setiap talam biasanya dikongsi sekitar lima orang supaya jemaah dapat duduk bersama, berkenalan dan berinteraksi antara satu sama lain," katanya kepada Sinar Harian.
Muhammad Ruzain berkata, bagi menepati konsep itu, pihak masjid turut menyediakan menu Nasi Arab ayam dan kambing yang sinonim dengan hidangan di Timur Tengah.
Menurutnya, hidangan itu disediakan oleh katering luar memandangkan jumlah jemaah yang hadir agak ramai sehingga mencecah ratusan orang.
"Pada hari biasa, kehadiran jemaah sekitar 200 hingga 300 orang, namun untuk program tertentu jumlahnya boleh meningkat sehingga kira-kira 600 pengunjung termasuk yang datang bersama keluarga.
"Pada awalnya, kita bercadang menyediakan makanan secara gotong-royong melalui pasukan rewang masjid, tetapi dengan jumlah hidangan besar, kita akhirnya menggunakan khidmat katering," tambahnya.
Beliau berkata, pihak masjid memperuntukkan kira-kira RM130,000 bagi pelbagai program sepanjang Ramadan termasuk penyediaan juadah berbuka puasa kepada jemaah.
Katanya, program itu juga terbuka kepada masyarakat luar kariah yang ingin merasai suasana berbuka puasa secara berjemaah di masjid berkenaan.
"Harapan kami supaya masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga menjadi pusat komuniti untuk masyarakat berkumpul, berkongsi rezeki dan mengeratkan silaturahim.
"Jika berkesempatan dan mendapat sambutan yang baik, program seperti ini akan diteruskan pada tahun akan datang," tambah beliau.


