KUANTAN - Masjid Sultan Ahmad Shah di Taman Sungai Isap di sini dipilih sebagai lokasi utama penganjuran program World #QuranHour (WQH) peringkat Pahang pada 11 Mac ini.
Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak berkata, pemilihan Masjid Sultan Ahmad Shah merupakan hasil kolaborasi bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dalam usaha menyemarakkan budaya cinta al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, penganjuran tahun ini turut mendapat kerjasama erat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Masjid Al-Jazari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Pekan, institusi pengajian tinggi (IPT) lain serta rangkaian Rumah Ngaji di seluruh daerah.
“Kita menyasarkan penyertaan lebih ramai berbanding tahun lalu dengan anggaran antara 200 hingga 300 peserta di lokasi utama, manakala lebih 400 pelajar di MRSM Kuantan.
“Kita juga menggalakkan jabatan kerajaan, sekolah dan Rumah Ngaji di setiap daerah untuk turut serta kerana program ini sentiasa dinantikan setiap kali Ramadan,” katanya.
**media[3456193]**
Mengenai pengisian tahun ini, Md Abdu menjelaskan WQH kali ini membawa mesej mendalam menerusi surah pilihan iaitu Surah al-Muzzammil.
Jelasnya, surah ini juga mengingatkan kepentingan qiyamullail dan ketekunan dalam mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
“Tahun ini kita membawa mesej ‘Muzzammil’ agar warga Pahang dapat mengambil iktibar daripadanya yang menekankan pembinaan diri, disiplin dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan harian.
“Pengisian akan disampaikan oleh penceramah yang bersesuaian supaya inti pati surah ini difahami dan diterjemahkan dalam kehidupan serta tugasan harian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Md Abdu turut melahirkan rasa kagum terhadap komitmen peserta, terutama golongan pelajar dan belia yang menunjukkan minat luar biasa sejak tahun lalu.
Beliau memberi contoh MRSM Kuantan yang sebelum ini melaksanakan program secara kecil-kecilan, namun tahun ini berhasrat menganjurkannya secara besar-besaran.
“MRSM Kuantan kali ini mahu pelaksanaan yang lebih meluas. Saya sendiri dijemput sebagai pentadabur kerana mereka merasakan perlunya perspektif luar untuk membantu pelajar menghayati Surah al-Muzzammil dengan lebih berkesan,” katanya.
Md Abdu berharap agar pengajaran daripada al-Quran dapat meresap ke dalam jiwa setiap warga Pahang, sekali gus membentuk suasana 'al-Solehah' di peringkat taman, daerah hingga ke peringkat negeri.
“Apabila kita memahami al-Quran, ia bukan sekadar bacaan, tetapi akan diterjemahkan melalui perbuatan dan ketaatan kepada perintah ALLAH SWT,” jelasnya.



