Dalam dunia kecantikan yang sering sarat dengan janji sensasi dan rutin yang merumitkan, MASMUQA hadir dengan pendekatan yang berbeza, tenang, berasas dan penuh empati.
Jenama penjagaan kulit kelahiran Malaysia ini mengangkat falsafah barrier-first, meletakkan kesihatan kulit sebagai teras utama sebelum apa jua kilauan luaran.
Diasaskan daripada pengalaman peribadi seorang pengasas yang pernah melalui episod skin barrier rosak dan sensitiviti melampau, MASMUQA lahir sebagai jawapan kepada keperluan sebenar kulit tropika, ringkas tetapi berkesan, lembut namun berpaksikan sains.
“MASMUQA berasal daripada dua perkataan iaitu ‘Emas dan Muka’. Kulit wajah wajar dijaga dengan penuh penghormatan, seperti sesuatu yang sangat bernilai. Falsafah ini bukan sekadar nama, tetapi diterjemahkan dalam setiap formulasi yang direka untuk memulihkan, melindungi dan mengekalkan keseimbangan semula jadi kulit, khususnya dalam iklim panas dan lembap Malaysia,” kongsi Pengasas Bersama MASMUQA, Nurin Afrina.

Koleksi minimalis MASMUQA merangkumi enam produk asas yang menyokong rutin penjagaan kulit menyeluruh yang terdiri daripada pembersih, toner mist, serum, pelembap, pelindung matahari dan masker helaian. Setiap satunya diperkaya dengan bahan aktif yang diiktiraf pakar dermatologi seperti centella asiatica (daun pegaga), niasinamida, asid hialuronik, seramida dan pantenol.
Antara yang mencuri tumpuan ialah MASMUQA Sheet Mask dan Toner Mist, dua produk yang menawarkan hidrasi segera dan pemulihan skin barrier hanya dalam beberapa minit, membuktikan bahawa kesederhanaan dan sains mampu bergandingan dengan indah.
Diformulasikan, dihasilkan dan direka sepenuhnya di Malaysia bersama rakan pengeluar bertauliah GMP, setiap produk MASMUQA dicipta khusus untuk kulit tropika. Teksturnya ringan, tidak melekit, namun terasa mewah dan cepat menyerap sehingga memberi keselesaan sepanjang hari.
Identiti tempatan menjadi nadi jenama ini, dengan penggunaan bahan botanikal Asia seperti daun pegaga (centella asiatica) dan ekstrak timun yang terkenal dengan sifat menenangkan kulit.
Kerjasama rapat bersama ahli kimia dan pembekal tempatan bukan sahaja menyokong ekosistem industri kecantikan Malaysia, malah memastikan harga kekal berpatutan tanpa mengorbankan kualiti.
Walaupun masih muda, MASMUQA sudah melangkah ke arah kelestarian, daripada pembungkusan minimalis yang boleh dikitar semula, formulasi bebas kekejaman haiwan, hinggalah pengeluaran berskala kecil yang lebih beretika.
Visi jangka panjangnya merangkumi sistem isian semula serta pembungkusan biodegradasi, sejajar dengan aspirasi masa depan kecantikan yang lebih bertanggungjawab.

Sejak penubuhan HN BYOODEECARE Sdn Bhd pada Februari 2024, MASMUQA telah mencatat pelbagai pencapaian bermakna, daripada pelancaran rangkaian pertama, kehadiran di platform digital seperti TikTok dan Shopee, sehinggalah pembentukan pasukan dalaman yang berkongsi visi sama.
“Melihat pelanggan kembali yakin selepas bertahun berdepan masalah kulit sensitif adalah kepuasan terbesar buat kami. MASMUQA dicipta untuk mereka yang mendambakan penjagaan kulit yang benar-benar memahami keperluan kulit,”tambah Nurin.
Melangkah ke hadapan, MASMUQA bakal memperkenalkan Set Penjagaan Lengkap Skin Barrier Repair serta rangkaian produk penuh menjelang 2026, disusuli acara pop-up, kolaborasi runcit dan peluasan ke pasaran serantau termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia. - Getaran, 17 Disember 2025
FOTO : MASMUQA



