'Masya-ALLAH, terkejut… tak kenal pun dia'– Amyza terharu hamba ALLAH buat badal umrah untuk Andre

LocalFamily & Parenting
17 Mar 2026 • 11:22 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PEMERGIAN anak bukan sekadar meninggalkan ruang kosong dalam rumah, tetapi turut membawa pergi sebahagian jiwa seorang ibu. 

Itulah ujian besar yang sedang dipikul pelakon Amyza Aznan selepas kehilangan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Idzhar, pada 23 Februari lalu akibat kanser paru-paru tahap tiga.

Namun, di sebalik duka yang menekan jiwa, hadir juga momen yang menghangatkan hati seorang ibu, kebaikan daripada insan yang langsung tidak dikenali.

Dalam satu majlis berbuka puasa dan Konsert Ijmal Cinta Ramadan di Saloma, Kuala Lumpur baru-baru ini, Amyza berkongsi rasa sebaknya apabila dimaklumkan oleh rakan baiknya, Didie Alias, bahawa seorang hamba ALLAH sudah melakukan badal umrah untuk arwah Andre.

“Kebaikan apa arwah Andre Mikhail lakukan yang saya sendiri tidak tahu sehingga ramai buat kebaikan untuknya sehingga hari ini?” soal Amyza dengan mata berkaca.

Tambahnya lagi, dia sendiri tidak kenal pun individu buat badal umrah untuk arwah anaknya itu. 

"Didie maklumkan ada hamba ALLAH mahu buat badal umrah dan dia minta izin serta beberapa minta maklumat seperti nama penuh. 

image is not available

"Masya-ALLAH, saya terkejut dan beritahu lakukan sahaja, tidak perlu minta izin sebab bukan perkara salah pun," kongsi Amyza.

Hamba ALLAH itu dikatakan berada di Tanah Suci dan telah menunaikan badal umrah untuk Andre. 

Perkara tersebut membuatkan Amyza terharu kerana segala kebaikan tersebut dilakukan tanpa sebarang permintaan daripada arwah anaknya.

“Arwah anak yang tidak meminta-minta. Tidak pernah dia beritahu, ‘mummy, hendak pergi ke sana sini’. Inilah yang saya usahakan untuk arwah,” luah Amyza penuh syahdu. 

Malah, dia juga merancang untuk menunaikan badal haji bagi pihak anaknya tahun ini, setelah mendapat nasihat daripada ustaz.

Selain itu, Amyza mengakui terkejut apabila ramai yang menyatakan hasrat untuk melakukan wakaf atas nama Andre.

“Ramai yang wakafkan macam-macam atas nama Andre. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak,” katanya. 

Amal dan kebaikan Andre

Bagi Amyza, segala usaha itu bagaikan hadiah kasih seorang ibu untuk anak yang sentiasa berbuat baik, walaupun tanpa menunjuk.

Perkara itu membuatkan Amyza mula merenung kembali setiap amal dan kebaikan Andre ketika hidup. 

“Dia buka jalan untuk rezeki kepada orang yang tidak dikenali. 

"Saya tersentuh apabila ada orang tanya, apa agaknya amalan Andre yang menjadi rahsia antara dirinya dengan ALLAH?," ungkapnya dengan nada sebak.

image is not available

Kehilangan Andre juga diiringi ujian lain apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, disahkan menghidap kanser tulang pada hari pertama Ramadan lalu. Adrian kini sedang menjalani rawatan alternatif.

Bagi Amyza, walaupun ujian bertimpa-timpa, dia berusaha berdiri dengan tabah dan terus menggenggam harapan. 

“Dia bukan hanya beri kepada saya tetapi juga ahli keluarga lain dan kawan-kawan saya,” ujarnya.

Kisah Amyza mengingatkan kita bahawa kebaikan seseorang tidak semestinya terlihat ketika mereka masih hidup. 

Kadang-kadang, selepas seseorang pergi, barulah doa dan amal jariah yang mereka tinggalkan terbuka kepada ramai, memberi pengajaran dan sedikit pengubat luka kepada hati yang ditinggalkan.