Masyarakat Cina dihargai: Ketua Menteri

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 4:58 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Masyarakat Cina dihargai: Ketua Menteri

Kota Kinabalu: Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) diberitahu bahawa Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih menghargai masyarakat Cina sebagai rakan kerjasama walaupun sebahagian daripada mereka menyokong pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November lalu.

“Jika Datuk Hajiji (Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor) tidak menyokong masyarakat Cina, kerajaan tidak akan menyumbang RM1 juta kepada Wisma FCAS,” kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala FCAS ke-32 di Dewan Hakka Sabah pada malam Jumaat, Joniston berkata ketidakhadiran Ketua Menteri pada majlis itu tidak bermakna beliau tidak menyokong masyarakat Cina.

Sebaliknya, katanya, Hajiji meneruskan sokongan kewangan kepada sekolah dan rumah ibadat masyarakat Cina kerana beliau tidak mengambil hati perubahan sokongan pengundi Cina secara peribadi.

Sehubungan itu, katanya, tiada keperluan bagi Presiden FCAS Tan Sri T.C. Goh mempertimbangkan untuk menjadikan pertubuhan itu sebagai sebuah parti politik.

“Biarlah persatuan ini terus berkhidmat sebagai sebuah NGO dan anda akan terus dihargai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Goh yang menegaskan bahawa corak pengundian masyarakat Cina pada PRN lalu tiada kaitan dengan FCAS.

“Itu adalah pilihan rakyat. FCAS tidak harus dipersalahkan. Begitu juga, sekiranya semua kerusi majoriti Cina dimenangi, ia juga tiada kaitan dengan FCAS,” katanya.

DAP yang merupakan parti utama berteraskan masyarakat Cina tewas di semua kerusi yang ditandinginya apabila undi masyarakat Cina sebahagian besarnya beralih kepada Warisan pada pilihan raya itu.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak memberi kesan sama terhadap gabungan GRS yang berjaya membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti selesa di Dewan Undangan Negeri (Dun) sekali gus menyebabkan masyarakat Cina tidak lagi berpeluang memainkan peranan sebagai penentu kerajaan seperti sebelum ini.

Namun, keadaan itu juga bermakna masyarakat Cina tidak lagi diwakili pada peringkat Timbalan Ketua Menteri buat kali pertama. Jawatan TKM sebaliknya diberikan kepada wakil masyarakat Kadazandusun beragama Islam dan bukan Islam.

Dalam ucapan yang dibacakan oleh Joniston, Hajiji berkata Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan pertubuhan masyarakat seperti FCAS yang menjadi penghubung penting antara masyarakat Cina dengan Kerajaan Negeri sejak penubuhannya pada 1994.

Beliau berharap FCAS akan terus menjadi rakan strategik dalam merealisasikan agenda pembangunan Sabah selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

“Selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh ekonomi, menambah baik infrastruktur, membangunkan modal insan serta memperluas peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.

“Bagaimanapun, kejayaan agenda ini memerlukan kerjasama erat semua pihak, termasuk sektor swasta, pertubuhan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata masyarakat Cina telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Sabah, khususnya dalam bidang perdagangan, perniagaan, industri, pendidikan dan pelancongan.

“Peranan FCAS sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat Cina perlu terus diperkukuh bagi memupuk persefahaman, membina kepercayaan dan memastikan aspirasi masyarakat itu disampaikan secara konstruktif,” katanya.

Hajiji turut berkata Kerajaan Negeri akan terus memastikan semua lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata untuk menikmati manfaat dan menyumbang kepada pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Goh dan barisan kepimpinannya sempena ulang tahun ke-32 persatuan itu.

“Sambutan tahun ini lebih bermakna dengan perasmian Wisma FCAS di Kampung Air, Kota Kinabalu sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah persatuan ini.”Hajiji turut berharap lebih ramai golongan muda tampil memikul tanggungjawab kepimpinan dalam persatuan dan aktiviti kemasyarakatan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan masyarakat di Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved