.jpg)
Tenom: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan institusi Mahkamah Anak Negeri (Man) sebagai badan yang memelihara adat dan budaya masyarakat anak negeri.
Pengerusi Murut Kolor Tenom Rohani Ganjau Abdullah (gambar) berkata usaha pembaharuan itu wajar disokong kerana mampu memartabatkan institusi perundangan adat yang menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat pribumi di Sabah.
Menurutnya bagi masyarakat Murut khususnya, Man bukan sekadar institusi perundangan adat saja sebaliknya lambang identiti, maruah, warisan dan jati diri yang diwarisi sejak turun-temurun.
“Usaha memperkukuh institusi ini amat penting bagi memastikan adat dan tradisi masyarakat anak negeri terus terpelihara serta dihormati oleh generasi akan datang.
“Justeru pembaharuan ini diharap dapat meningkatkan keberkesanan pentadbiran Man selain memperkukuh peranan Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung dalam memastikan sistem perundangan adat terus mendapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu semasa berucapmerasmikan Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran berkata, kelulusan RUU Man 2026 di Dun Sabah Julai lalu adalah satu detik bersejarah.
Menurutnya usaha di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu bertujuan memartabat dan memperkasakan sistem perundangan adat anak negeri termasuk memperkukuh Man untuk memodenkan sistem perundangan tradisional Bumiputera agar kekal berkesan, relevan dan berwibawa seiring dengan perkembangan semasa.
Mengulas lanjut Rohani berkata beliau menyeru masyarakat Murut khususnya di daerah Tenom supaya bersama-sama menyokong usaha berkenaan demi kepentingan serta masa depan masyarakat anak negeri di Sabah.
Jelasnya Man perlu terus dipertahankan sebagai institusi penting yang bukan sahaja menguruskan hal berkaitan adat malah menjadi wadah memastikan kesinambungan warisan dan identiti masyarakat tempatan.
“Institusi Mahkamah Anak Negeri adalah warisan kita, identiti kita dan amanah yang perlu kita pertahankan bersama,” katanya.





