Maszlee persoal justifikasi PRN Johor, dakwa rakyat tidak mahu dipermainkan

LocalPolitics
8 Jul 2026 • 2:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maszlee persoal justifikasi PRN Johor, dakwa rakyat tidak mahu dipermainkan
Maszlee (kanan) ketika Dialog PRN Johor yang berlangsung di Auditorium Permata Sari RTM, Johor Bahru pada Selasa.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik mempersoalkan justifikasi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika rakyat masih berdepan cabaran kos sara hidup.

Beliau berkata, keadaan semasa memerlukan tumpuan diberikan kepada agenda pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukannya mengadakan pilihan raya semata-mata bagi mendapatkan kuasa tambahan.

"Apakah justifikasi? Apakah keperluan dikala rakyat sedang bergelut dengan kehidupan, dikala negara sedang rancak membangunkan ekonomi dan juga menyelamatkan rakyat.

"Tiba-tiba diadakan pilihan raya, semata-mata untuk dapat keseluruhannya, seolah-olah kuasa yang ada, mandat yang telah rakyat diberikan tak cukup," katanya ketika Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Auditorium Permata Sari, RTM di sini pada Selasa.

Beliau turut mendakwa rakyat hanya dijadikan percaturan oleh kelompok politik tertentu, terutama apabila terdapat dakwaan yang mengaitkan kemenangan besar dalam pilihan raya dengan pembebasan individu tertentu daripada penjara.

Menurutnya, rakyat Johor tidak seharusnya diperlakukan sebagai alat untuk memenuhi kepentingan politik mana-mana pihak.

“Jadi orang kata, kami rakyat menjadi bidak di papan catur hanya untuk melepaskan seorang daripada penjara saja.

“(Sebaliknya) Rakyat inginkan kestabilan, mereka mahu kehidupan lebih baik, bukan hanya untuk memuaskan nafsu sekelompok politik yang mahukan kuasa lebih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu dimanfaatkan bagi meneruskan agenda pembangunan sehingga tamat penggal pentadbiran.

Katanya, banyak agenda pusat yang dibawa ke Johor sepatutnya memberikan manfaat kepada rakyat sekiranya wujud keselarasan antara kedua-dua kerajaan.

Ujarnya, rakyat Johor tidak mudah dipermainkan dan akan menggunakan hak mereka pada hari pengundian bagi menyuarakan suara rakyat.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved