Mat Kilau: Mengaum Di Pawagam, Lesu Di Netflix

19 Sep 2022 • 1:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
'Mat Kilau' telah mengutip lebih RM97 juta sekali gus menewaskan jumlah kutipan filem Hollywood 'Avengers: End Game' yang mencatatkan kutipan RM87 juta di negara - Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Filem sejarah ‘Box Office’ Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan di Netflix sejak empat hari lalu, dilihat hanya gah di pawagam tetapi tidak di platform berbayar itu.

Majoriti penonton yang mendakwa pertama kali menonton karya pengarah terkemuka Shamsul Yusoff itu melahirkan rasa tidak puas hati dengan kualiti filem dihasilkan.

Tidak hanya memetik aspek sinematografi, mereka turut membangkitkan perihal dialog kerana dianggap lebih sebagai berceramah, dan tidak semula jadi.

Dakwa mereka, pergerakan kamera amat ‘memeningkan’ terutamanya dalam babak pertarungan apabila ia ‘bergoyang’ dengan teruk.

Pengguna Twitter @AminRahman_z dalam ciapannya berkata, filem tersebut hanya ditontonnya selama 30 minit sebelum bertukar kepada filem lain.

“Buka Mat Kilau kt Netflix, lepas 30 minit, aku tukar ke Angel Has Fallen. Terima kasih atas usaha bawa Mat Kilau ke Netflix cuma penat dengar ceramah. Nak mati pun dan (sempat) ceramah lagi.

“Komen: … sesuai la utk org (untuk orang) Melayu …,” ciapnya.

 Seorang lagi netizen, @sesamesumimasen turut meluahkan kekecewaannya terhadap aspek sinematografi filem yang digunapakai oleh produksi.

“The camera works oh my god, lalat ke rakam. Jika ada rancangan untuk menerbitkan filem lain tolong Merong Mahawangsa.

“Mungkin tonton di Netflix jadi kurang ngam tapi sejujurnya saya tak faham apa yang hype filem tersebut,” ciapnya.

Meluahkan perkara sama, @TengkuDTrace berkata “Kamera tu sumpah spoil goyang sana sini. Bab lain tu pada aku boleh improve  lagi. Cuma kamera tu, kena improve kaw kaw,” ciapnya.

Filem arahan Syamsul Yusof tersebut melakar sejarah buat dunia perfileman Malaysia apabila mencatatkan kutipan tertinggi sepanjang ditayangkan di pawagam di tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura.

Selepas 33 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara, Mat Kilau mengutip lebih RM97 juta sekali gus menewaskan jumlah kutipan filem Hollywood Avengers: End Game yang mencatatkan kutipan RM87 juta di negara.

Filem yang mengenengahkan perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau itu membariskan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan Asari dan Datuk Rahim Razali. – Getaran, 19 September 2022