Mat Rempit Jatuh Ketika Tunjuk Aksi ‘Wheelie’ Depan Orang Ramai, Motosikal Rempuh Myvi [Video]

LocalCars
21 Oct 2024 • 11:07 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Tidak dinafikan, sehingga hari ini masih ada segelintir penunggang-penunggang motosikal dalam kalangan anak muda yang gemar menunggang secara berbahaya.

Golongan yang sering digelar sebagai ‘mat rempit’ ini bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Penunggang dan pembonceng terjatuh lepas tunjuk aksi ‘wheelie’

Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang penunggang motosikal bersama pemboncengnya terjatuh selepas melakukan aksi ‘wheelie’ di hadapan orang ramai.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun X @update11111, kelihatan motosikal jenis Honda EX5 ditunggangi mat rempit berkenaan juga melanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang melalui jalan tersebut.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 6.37 petang kelmarin (19 Oktober) di persimpang jalan berdekatan sebuah stesen minyak di Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu.

Susulan kejadian itu, pemandu Myvi berkenaan dikatakan telah tampil membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

Polis buru penunggang dan pembonceng motosikal, larikan diri lepas kejadian

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku ketika pemandu wanita berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari arah Dataran Austin menghala ke Teluk Ketapang, manakala motosikal tersebut dari arah Jalan Kem Askar.

“Apabila tiba di lokasi, penunggang motosikal itu membuat aksi ‘wheelie’ dan terjatuh sebelum melanggar kereta dipandu wanita berkenaan.

“Bagaimanapun, penunggang dan pembonceng motosikal bertindak melarikan diri selepas kejadian, manakala pemandu wanita membuat laporan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya kini sedang mengesan penunggang dan pembonceng motosikal terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Source: