Mat Saleh Akui 'Gagal' Hidup Normal Di Negara Asal Selepas Pulang Dari Malaysia

LocalTravel
16 Jun 2026 • 7:45 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Mat Saleh Akui 'Gagal' Hidup Normal Di Negara Asal Selepas Pulang Dari Malaysia

Mat Saleh Akui 'Gagal' Hidup Normal Di Negara Asal Selepas Pulang Dari Malaysia

Bila pergi bercuti ke sesuatu tempat, biasanya kita akan bawa pulang gambar, video dan kenangan manis.

Tapi kadang-kadang, ada sesebuah negara yang meninggalkan kesan lebih daripada itu.

Sampai satu tahap, kita dah balik ke negara sendiri pun masih teringat-ingat suasana, makanan dan cara hidup di tempat tersebut.

Itulah yang berlaku kepada seorang pelancong Amerika Syarikat yang cukup dikenali ramai rakyat Malaysia, Terry Pernell atau lebih mesra dipanggil "Mr. T".

Sebelum ini, Mr. T pernah tular kerana menghasilkan lagu khas untuk Malaysia sebagai tanda penghargaan sebelum pulang ke Amerika.

Dia juga pernah mencuri perhatian ramai apabila berkongsi video "unboxing" beg penuh dengan goodies dari Malaysia yang dibawanya pulang.

Terbaru, dia sekali lagi membuatkan ramai tersenyum apabila berkongsi satu video lucu tentang bagaimana Malaysia masih 'menghantuinya' walaupun dia sudah berada ribuan kilometer jauh dari negara ini.

"Saya cuba jadi normal..."

Menurut Mr. T, sebaik sahaja tiba di Amerika, dia cuba menjalani kehidupan seperti biasa.

Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa percutian di Malaysia sudah berakhir dan kini masanya untuk kembali kepada rutin harian. Tetapi, dia akhirnya tidak dapat 'lari' daripada realiti sebenar.

Malaysia, saya cuba jadi normal. Saya betul-betul cuba.

Saya beritahu diri sendiri, "Okey Mr. T, awak dah balik ke Amerika. Hiduplah macam biasa. Jadilah normal".

Tapi kemudian saya sedar sesuatu. Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang saya pernah lawati. Malaysia sudah ‘install’ dirinya dalam otak saya.

Lucunya, sejak itu dia mula membandingkan hampir semua perkara yang dilihat dengan pengalaman hidup di Malaysia.

Mall kecil nampak 'comel'

Antara yang paling ketara ialah apabila dia masuk ke pusat beli-belah.

Katanya, setiap kali melihat mall dua tingkat di sana, fikirannya secara automatik akan membandingkannya dengan mall di Malaysia.

Saya masuk ke sebuah pusat beli-belah, terus otak saya berkata, "Dua tingkat je? Comelnya..."

Orang Malaysia yang biasa dengan pusat beli-belah besar seperti di Kuala Lumpur pasti faham kenapa dia berkata begitu.

Makanan tak lengkap tanpa sambal

Bukan setakat mall, selera makan Mr. T pun nampaknya masih 'terperangkap' di Malaysia.

Katanya, setiap kali melihat makanan, perkara pertama yang muncul dalam fikirannya bukanlah rasa atau harga makanan tersebut.

Saya nampak makanan, terus otak saya bertanya, "Okey, tapi mana sambalnya? Mana nasi lemaknya? Mana aura mamak tu?"

Pukul 9 malam baru nak keluar makan

Satu lagi perkara yang membuatkan dia keliru apabila kembali ke Amerika ialah suasana malam.

Menurutnya, ramai orang di sana sudah mula berehat atau berada di rumah sekitar pukul 9 malam.

Tetapi selepas merasai kehidupan di Malaysia, waktu itu masih terasa terlalu awal.

Saya nampak orang balik rumah pukul 9 malam, dan otak saya jadi keliru. Sebab di Malaysia, pukul 9 malam bukanlah waktu malam.

Pukul 9 malam di Malaysia ialah waktu orang mula bertanya, "Nak keluar makan tak?"

Hujan bukan waktu nak batal 'plan'...

Namun menurut Mr. T, simptom paling teruk berlaku setiap kali hujan turun.

Kebanyakan orang mungkin akan membatalkan rancangan apabila cuaca hujan. Tapi lain pula dengan dirinya.

Simptom yang paling teruk? Hujan.

Orang biasa nampak hujan lalu membatalkan rancangan mereka. Tapi otak saya nampak hujan dan terus berkata, "Ini masa yang paling sesuai untuk minum teh tarik".

"Saya sudah tewas..."

Menurut Mr. T, apa yang paling menarik ialah Malaysia bukan sekadar memberinya kenangan indah.

Sebaliknya, negara ini telah mengubah cara dia melihat banyak perkara dalam kehidupan.

Masa itulah saya sedar saya sudah ‘tewas’. Sebab Malaysia bukan sekadar memberi saya kenangan.

Malaysia telah memberikan saya satu 'sistem operasi' yang baharu. Dan sekarang, setiap hari, otak saya membandingkan segala-galanya.

Makanan? Malaysia. Pusat beli-belah? Malaysia. Kehidupan malam? Malaysia. Hujan? Malaysia. Tiba-tiba mengidam makanan pada pukul 11 malam? Malaysia lagi.

Mamak 24 jam, nasi lemak, teh tarik ketika hujan, budaya keluar makan lewat malam dan suasana santai rakyat Malaysia mungkin nampak biasa bagi kita.

Tetapi bagi orang luar, itulah antara perkara yang membuatkan mereka jatuh cinta dengan Malaysia.