Mat Saleh Buka Cerita Bagaimana Wanita Malaysia Jadi Isterinya

26 Aug 2025 • 11:56 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mat Saleh Buka Cerita Bagaimana Wanita Malaysia Jadi Isterinya

Orang tua-tua selalu berpesan:

“Kalau dah jodoh, tak ke mana.”

“Kalau dah jodoh, benda baik akan dipermudahkan.”

Sekilas lalu, ungkapan ini mungkin kedengaran klise. Ada yang menganggap ia sekadar kata-kata manis untuk menenangkan hati.

Namun, siapa kita untuk menafikan kebesaran Allah SWT? Rezeki, ajal, dan jodoh, semuanya bukan di tangan manusia, melainkan diatur indah oleh-Nya. Bila tepat waktunya dan orangnya, pasti tiba pula masa kita.

Buktinya, baru-baru ini tular di media sosial kisah cinta antara seorang lelaki Mat Saleh dengan seorang wanita Malaysia.

Apa yang lebih menarik, lelaki berkenaan sendiri mendedahkan detik istimewa yang membuatkan dia yakin wanita tersebut adalah jodoh yang telah ditentukan untuknya.

Momen inilah yang akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin, dan kini pasangan dua sejoli ini sah bergelar suami isteri.

“Saya tahu saya akan mengahwininya hanya selepas beberapa hari… bagaimana?” katanya.

Dalam satu perkongsian video, lelaki berkenaan menceritakan bahawa dia hanya mengambil masa beberapa hari sahaja untuk menanam rasa yakin menikahi wanita bertuah itu.

Menurutnya, sejak awal perkenalan, hubungan mereka tidak pernah dipenuhi permainan cinta yang sia-sia. Sebaliknya, mereka terus berbicara tentang perkara serius.

“Kami terus berbicara tentang perkahwinan, anak-anak, kehidupan, dan yang paling utama, tentang Allah SWT.

“Kami berbincang tentang solat, tentang syurga (Jannah), tentang hijrah. Semua perkara yang benar-benar penting apabila ingin membina rumah tangga dengan pasangan yang tepat,” kongsinya.

Niat yang jelas

Apa yang membuatkan lelaki itu lebih yakin ialah setiap perbualan mereka tidak pernah lahir daripada khayalan semata-mata.

Katanya, semuanya berlandaskan niat. Niat untuk bernikah. Niat untuk menyempurnakan separuh daripada agama.

“Saya sedar bahawa apabila Allah SWT menjadi pusat dalam setiap perbualan, kita tidak memerlukan bertahun-tahun untuk mengenali seseorang.

“Inilah yang terjadi apabila dua Muslim serius tentang nikah, serius tentang perkahwinan, dan serius tentang agama mereka.

“Tiada kekeliruan, yang ada hanyalah kejelasan dan ketenangan,” katanya.

Keindahan bila agama jadi panduan

Lelaki itu berkata lagi, apa yang membuatkan dirinya benar-benar yakin ialah perubahan yang dibawa wanita berkenaan dalam hidupnya.

“Sejak saat pertama saya mengenali wanita ini, dia secara langsung membawa saya lebih dekat kepada Allah SWT,” katanya.

Mungkin, inilah menurutnya tanda jelas bahawa Allah sedang menunjukkan jalan yang betul.

Bila seseorang itu mampu membawa kita semakin dekat kepada-Nya, itu adalah antara petunjuk terbesar bahawa dialah insan yang tepat untuk dijadikan pasangan hidup.

@justyn.ali

I knew I would marry her after just a few days… How?

♬ Where you are (Vocals only) – Halal Beats

Kisah ini pantas mendapat perhatian ramai. Ada yang terharu, ada juga yang kagum melihat betapa seriusnya lelaki tersebut dalam memandang soal perkahwinan.

Ia juga menjadi inspirasi buat pasangan lain bahawa jika niat perkahwinan diletakkan semata-mata kerana Allah SWT, segala urusan pasti menjadi lebih jelas dan mudah.

Sesungguhnya, jodoh itu rahsia Allah. Apabila sampai masanya, ia akan hadir dengan cara yang tidak disangka-sangka.