Mat Salih Beli Mesin Pengisar Dari Malaysia, Kayuh Basikal Jual Ais Kacang Di Sweden

WorldFood
9 Sep 2025 • 11:52 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
Mat Salih Beli Mesin Pengisar Dari Malaysia, Kayuh Basikal Jual Ais Kacang Di Sweden

Siapa sangka, pencuci mulut ikonik Malaysia kini boleh ditemui jauh di bumi Sweden.

Ais kacang RM28

Baru-baru ini, tular di TikTok menerusi perkongsian @wawawandering yang berkongsi video seorang lelaki Sweden menjual ais kacang dengan cara cukup unik iaitu dengan menggunakan basikal.

image is not available

Lelaki tersebut dilihat mengayuh basikal yang dipasang dengan mesin ais kacang khas, yang katanya dibeli terus dari Malaysia sebelum dibawa pulang ke negaranya.

Lokasi pilihannya juga bukan calang-calang, iaitu di sekitar kawasan tarikan pelancong di Stockholm, berhadapan dengan air pancut serta lokasi popular seperti Gamla Stan dan Slussen.

image is not available

Lebih menarik, dia turut menyediakan papan menu kecil di hadapan gerai basikalnya, membolehkan pelanggan memilih sendiri topping kegemaran mereka.

Antara pilihan yang ditawarkan termasuk kacang merah, jagung, jelly, sirap dan susu pekat yang cukup lengkap untuk membangkitkan rasa nostalgia buat rakyat Malaysia.

Harga semangkuk ais kacang di sana mencecah RM28. Biarpun agak mahal jika dibandingkan dengan harga di tanah air, ia dianggap berbaloi, apatah lagi untuk dinikmati ketika musim panas di Eropah.

Kehadiran gerai ais kacang berbasikal ini bukan sahaja mencuri perhatian pelancong asing, tetapi juga menjadi pengubat rindu buat anak-anak Malaysia yang menetap di Sweden.

image is not available

Bagi mereka, menikmati ais kacang di perantauan membawa sedikit rasa rumah walaupun jauh di bumi asing.

Fenomena ini jelas menunjukkan betapa makanan tradisi Malaysia mampu menembusi sempadan, malah dihargai oleh masyarakat luar sebagai sebahagian daripada pengalaman budaya yang berbeza.

Sumber: TikTok @wawawandering