
KOTA BHARU : Masalah mata juling dalam kalangan kanak-kanak bukan sekadar memberi kesan terhadap penampilan, malah boleh menjejaskan perkembangan otak dan tahap penglihatan sekiranya tidak dikesan serta dirawat pada peringkat awal.
Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Datuk Dr. Ab. Rahman Izani Ghani@Ab. Ghani berkata, keadaan itu berlaku apabila mata yang juling tidak dapat memberikan tindak balas kepada otak pada kadar normal berbanding mata yang berada dalam kedudukan lurus.
Katanya, masalah berkenaan juga boleh menyebabkan kanak-kanak berdepan tahap penglihatan yang rendah selain memberi kesan terhadap keyakinan diri dan perkembangan sosial mereka.
“Masalah mata juling boleh dikesan dan dibetulkan seawal usia dua tahun. Malah jika dikenal pasti lebih awal, rawatan boleh dilakukan supaya apabila mencapai usia persekolahan, kedudukan mata sudah berada dalam keadaan yang lebih baik.
“Mata yang juling sama ada ke dalam atau ke luar tidak akan memberikan tindak balas kepada otak secara normal dan keadaan itu boleh mempengaruhi perkembangan otak dan penglihatan, ” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Pembedahan Mata Juling di Wad 2 Utara, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini hari ini.
Dr. Ab. Rahman berkata, peningkatan kes masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak turut dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk keturunan serta pendedahan berlebihan kepada peranti digital.
Katanya, penggunaan gajet dalam tempoh lama boleh menyumbang kepada masalah rabun dan secara tidak langsung meningkatkan jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan. – UTUSAN
The post Mata juling boleh jejas perkembangan otak kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.





