
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah membangkitkan sekurang-kurangnya 10 isu kepentingan rakyat ketika membahas Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam ucapannya, beliau mengetengahkan isu-isu setempat di kawasan Sipitang, sambil berharap kerajaan mengambil tindakan segera menanganinya.
Antara isu yang dibangkitkan adalah mengenai masalah jalan raya, bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan ekonomi, termasuk isu kemudahan asas, banjir, perumahan dan peluang ekonomi peniaga kecil.
Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) berkata, isu Jalan Mendulong–Meligan–Long Pasia yang dibangkitkannya sejak empat tahun lalu masih belum diberi perhatian.
Malah, katanya, isu sama juga telah dibangkitkan oleh penyandang Ahli Parlimen Sipitang terdahulu.
“Bertahun-tahun suara ini bergema, bertukar wakil rakyat, beralih kerajaan demi kerajaan, namun persoalannya masih sama.
“Bilakah jalan ini akan dinaik taraf? Sampai bilakah penduduk pedalaman harus menunggu?,” katanya.
Menurutnya, projek menaik taraf Jalan Kampung Bamban–Mendulong–Meligan sepanjang kira-kira 40 kilometer perlu dipercepatkan, sementara cadangan menaik taraf Jalan Meligan–Long Pasia sepanjang kira-kira 42 kilometer turut perlu diberikan perhatian serius bagi melengkapkan akses ke kawasan pedalaman.
Mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi jajaran Sindumin–Melalia–Beaufort, Matbali meminta kerajaan menjelaskan status terkini kemajuan projek berkenaan.
Beliau turut membangkitkan semula mengenai projek menaik taraf Jalan Mentulud 1 dan Mentulud 2 di Beaufort di mana sehingga kini kerja pelaksanaannya masih belum bermula.
“Ketika saya membangkitkan isu ini pada November 2024, jawapan bertulis yang diberikan bahawa ia masih di peringkat pra kelayakan pada waktu itu,” katanya sambil meminta penjelasan mengenai punca kelewatan dan langkah yang akan diambil untuk mempercepatkannya.
Dalam pada itu, Matbali berkata terdapat seramai 7,319 penduduk melibatkan 1,219 rumah di 21 buah kampung di Sipitang yang masih tidak menikmati bekalan air bersih.
Katanya, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) itu pernah dibangkitkannya ketika perbahasan Belanjawan Tahun 2025 berkaitan Projek Rawatan Air Kg Usuk, Sungai Lukutan dan Pepolor Sungai Tiga Sipitang yang mana sehingga kini ia masih tidak ada kesudahannya.
“Pada perbahasan yang sama saya turut membangkitkan mengenai projek jalan Kg Mendulong-Meligan dan Jalan Bangkalalak-Mentulud.
“Jawapan yang diberikan pada masa itu melegakan kami tetapi setelah dua tahun berlalu apa yang boleh saya katakan ia umpama menanam tebu di tepi bibir,” katanya.
Matbali berkata ribuan penduduk di kawasan pedalaman Sipitang masih berhadapan dengan masalah bekalan elektrik.
Beliau mengambil contoh di Mukim Malamam, terdapat enam kampung dengan jumlah 2,073 penduduk yang tinggal di 287 rumah masih menantikan penyelesaian terhadap keperluan bekalan elektrik.
“Saya juga membangkitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menggunakan Sistem Solar Hibrid yang telah dilaksanakan di beberapa kampung di pedalaman Sipitang.
“Projek ini dilaporkan telah terbengkalai sejak 2019. Akibatnya, penduduk terpaksa bergantung pada lampu solar dan generator set sebagai sumber tenaga alternatif,” katanya.

![[KEMASKINI] 10 kawasan di JB ‘blackout’, pencawang TNB terbakar](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-16-at-20.12.46-e1792152855683-1024x679.jpeg)



