[KEMASKINI] 10 kawasan di JB ‘blackout’, pencawang TNB terbakar

16 Oct 2026 • 8:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [KEMASKINI] 10 kawasan di JB ‘blackout’, pencawang TNB terbakar

JOHOR BAHRU – Sekurang-kurangnya 10 kawasan perumahan di sekitar bandar raya ini mengalami gangguan bekalan elektrik selepas Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau di Kawasan Perindustrian Tebrau 4, di sini terbakar petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu turut menyebabkan dua pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di pencawang berkenaan.

Antara kawasan terjejas ialah Taman Johor Jaya, Taman Molek, Adda Heights, Bandar Dato’ Onn, Austin, Eko Flora, Cascadia, Kempas, Taman Setia Tropika dan Taman Gaya.

Gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di Senai dan Taman Pelangi Indah.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan II Fadzil Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.10 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan tiba enam minit kemudian sebelum memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa.

“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Operasi bomba yang dijalankan di lokasi berkenaan tamat pada pukul 6.45 petang selepas keadaan dipastikan selamat.

Sementara itu, TNB mengesahkan kebakaran di PMU Kangkar Tebrau menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Johor Jaya.

Menurut kenyataan TNB, pasukan teknikal digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas.-KOSMO! ONLINE

The post [KEMASKINI] 10 kawasan di JB ‘blackout’, pencawang TNB terbakar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved