sarah23/11/2026 - 12:47 KUALA LUMPUR 23 Nov - Sebanyak 7,434 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi ahli Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjana eksport bernilai RM63.60 bilion, menyokong lebih 383,000 pekerjaan dan mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM12.04 bilion.
MATRADE berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 7,211 PKS menyumbang RM57.29 bilion menerusi eksport produk bukan elektrik dan elektronik (E&E), bersamaan kira-kira 90% daripada keseluruhan eksport PKS berkenaan.
Sumbangan tersebut merangkumi beberapa sektor termasuk makanan diproses, bahan kimia, mesin, peralatan dan komponen, produk logam serta barangan pembuatan berasaskan minyak sawit.
Prestasi itu dicatatkan ketika jumlah eksport Malaysia meningkat 37.1% tahun ke tahun kepada RM1.811 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, pertumbuhan paling kukuh bagi tempoh sama sejak 1990, manakala lebihan dagangan negara berjumlah RM274.81 bilion.
MATRADE mahu tingkatkan sumbangan PKS kepada eksport
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian eksport itu membuktikan keupayaan syarikat Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian nilai global, dengan keutamaan agensi tersebut kini adalah meningkatkan sumbangan PKS kepada eksport negara.
“Pencapaian lebih 7,400 PKS yang menjana eksport RM63.60 bilion membuktikan keberkesanan langkah strategik kami.
“Kami akan terus menerajui penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan antarabangsa utama bagi mendapatkan kontrak global bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata, MATRADE turut merancang program pembangunan keupayaan secara lebih giat menerusi Akademi MATRADE bagi meningkatkan pengetahuan operasi dan kemahiran teknologi PKS untuk memastikan daya tahan eksport dalam jangka panjang.
Perluas pasaran bukan tradisional
MATRADE berkata, inisiatif agensi itu akan diselaraskan dengan Belanjawan 2027 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan tumpuan terhadap peningkatan keupayaan eksport PKS, pematuhan keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peluasan pasaran bukan tradisional.
“Bagi mengekalkan momentum ini ketika ketidaktentuan global, kami akan memperkukuh strategi mempelbagaikan pasaran dengan memperluas hubungan perdagangan bersama pasaran bukan tradisional dan menggalakkan produk bernilai tambah tinggi,” menurutnya.
Agensi itu berkata, penyesuaian strategi tersebut penting untuk memperluas asas eksport negara, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional dan memperkukuh daya tahan perdagangan Malaysia dalam jangka panjang.-BERNAMA






