Bekalan minyak sawit Malaysia semakin menjadi rebutan pasaran global pada 2027 – BMI

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 10:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekalan minyak sawit Malaysia semakin menjadi rebutan pasaran global pada 2027 – BMI Image from: Bekalan minyak sawit Malaysia semakin menjadi rebutan pasaran global pada 2027 – BMI sarah19/11/2026 - 10:49 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – Malaysia berpotensi mendapat permintaan eksport minyak sawit yang lebih kukuh pada 2027 apabila penggunaan domestik Indonesia dijangka mengatasi jumlah eksportnya buat pertama kali dalam siri unjuran BMI, sekali gus mengurangkan bekalan negara jiran itu kepada pasaran antarabangsa.

 

BMI, unit Fitch Solutions, berkata penggunaan minyak sawit domestik Indonesia diunjurkan meningkat 2.4% kepada 23.4 juta tan bagi musim 2026/2027, merangkumi 52% daripada gabungan penggunaan tempatan dan eksport negara itu, didorong peningkatan permintaan biodiesel.

 

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun pelaksanaan campuran biodiesel B50 di Indonesia dijangka berdepan kekangan operasi, kadar campuran purata sekitar 43% bagi kenderaan jalan raya pada 2027 masih mencukupi untuk menyerap lebih banyak minyak sawit tempatan dan mengehadkan bekalan eksport.

 

Bekalan Malaysia semakin diperlukan

BMI menjangkakan pengurangan bekalan eksport Indonesia akan meningkatkan pergantungan pembeli antarabangsa terhadap minyak sawit Malaysia, terutama apabila pengeluaran kedua-dua negara dijangka berdepan tekanan akibat fenomena cuaca El Niño.

 

Firma itu mengunjurkan defisit gabungan bekalan minyak sawit Indonesia dan Malaysia meningkat kepada 1.2 juta tan bagi musim 2026/2027 berbanding 557,000 tan pada musim sebelumnya, sekali gus berpotensi mempercepat penyusutan stok Malaysia yang kini berada pada paras tinggi.

 

Pada peringkat global, BMI meramalkan lebihan bekalan minyak sawit mengecil dengan ketara kepada hanya 900,000 tan bagi musim 2026/2027 berbanding 4.2 juta tan sebelumnya, apabila penggunaan terus meningkat sedangkan pengeluaran dijangka merosot.

 

saw

 

Harga sawit dijangka meningkat menjelang akhir 2027

Susulan bekalan yang semakin ketat, BMI menjangkakan harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia meningkat secara berperingkat daripada purata RM4,270 satu tan pada suku pertama 2027 kepada RM4,503 satu tan menjelang suku keempat tahun berkenaan.

 

Bagaimanapun, firma itu menurunkan unjuran harga purata MSM bagi keseluruhan 2026 kepada RM4,382 satu tan daripada RM4,453 sebelumnya, berikutan prestasi harga yang lebih lemah daripada jangkaan pada suku keempat, manakala harga purata 2027 diunjurkan sekitar RM4,385 satu tan.

 

Permintaan India turut sokong pasaran

Selain biodiesel Indonesia, BMI menjangkakan permintaan minyak sawit India kekal sebagai faktor sokongan kepada pasaran, terutama apabila gangguan eksport minyak bunga matahari dari Rusia dan Ukraine mendorong pengimport mencari bekalan minyak sayuran alternatif.

 

Dalam jangka panjang, BMI berpandangan pertumbuhan penggunaan biodiesel, kekangan pembukaan kawasan perladangan baharu dan kadar penanaman semula yang rendah akan terus mengehadkan pertumbuhan bekalan, sekali gus menyokong harga minyak sawit walaupun stok Malaysia yang tinggi masih menjadi cabaran dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved