
PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan jualan eksport bernilai RM12 bilion menerusi pelaksanaan 200 aktiviti pembangunan pengeksport dan promosi eksport pada 2027.
Sasaran itu disokong peruntukan RM60 juta di bawah Dana Pengukuhan Eksport dan Pempelbagaian Pasaran dalam Belanjawan 2027 bagi membantu syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa serta mempelbagaikan destinasi eksport.
Matrade berkata, peruntukan itu dijangka memanfaatkan lebih 3,500 syarikat, termasuk 60 syarikat bumiputera dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap peranan Matrade dalam memperkukuh agenda eksport negara, khususnya ketika pengeksport berdepan ketidaktentuan geopolitik, tarif dan gangguan rantaian bekalan global.
Katanya, pertumbuhan eksport dua angka bagi lapan bulan pertama 2026 membuktikan daya tahan perdagangan Malaysia dalam menghadapi persekitaran global yang mencabar.
“Namun, tumpuan strategik kita kini adalah untuk meningkatkan nisbah penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pasaran eksport Malaysia.
“Kita harus mengangkat PMKS sebagai tunjang dan penggerak utama ekonomi negara kerana setiap kejayaan mereka di pentas global akan membawa kesan limpahan secara langsung kepada kemakmuran ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Matrade, jumlah perdagangan negara mencecah RM2.5 trilion bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dengan eksport meningkat 31.2 peratus kepada RM1.36 trilion.
“Prestasi itu disokong strategi eksport negara, rangkaian perjanjian perdagangan bebas (FTA) serta usaha memperluas pasaran baharu meskipun berdepan pelbagai cabaran luaran,” katanya.
Setakat September 2026, seramai 10,300 PMKS berdaftar dengan Matrade, sekali gus menunjukkan kepentingan memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam aktiviti perdagangan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, pihaknya akan memastikan peruntukan itu dimanfaatkan secara berkesan bagi memberikan hasil nyata kepada pengeksport Malaysia, khususnya PMKS.
Beliau berkata, Matrade akan memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik dan pihak berkepentingan dalam ekosistem eksport bagi meningkatkan keupayaan syarikat tempatan bersaing di pasaran global.
Dalam pada itu, Matrade akan meneruskan strategi pengembangan eksport menerusi pempelbagaian pasaran, pembangunan industri halal, sektor perkhidmatan dan pendigitalan melalui Madani Digital Trade Platform (MDTP).
“Usaha memperkukuh keupayaan PMKS turut dilaksanakan menerusi Akademi Matrade dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional, selain program sokongan seperti eBizLink.
“Kami turut mengalu-alukan beberapa inisiatif lain dalam Belanjawan 2027 yang berpotensi meningkatkan kapasiti eksport dan daya saing PMKS.
“Antaranya termasuk pembiayaan eksport RM1 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), peningkatan keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion serta pembiayaan tambahan RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat konflik di Asia Barat,” katanya.
Selain itu, peruntukan RM10 juta bagi inisiatif JOM MALAYSIA akan membantu membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran luar negara.
“Peruntukan RM3 bilion kepada HRD Corp bagi menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran pula dijangka menyokong pembangunan tenaga kerja dan peningkatan keupayaan syarikat tempatan,” katanya. – UTUSAN
The post Matrade sasar jualan eksport RM12 bilion menerusi peruntukan RM60 juta appeared first on Utusan Malaysia.






