
PERSATUAN Filem dan Visual Sabah (Safva) menyambut baik pengumuman peruntukan lebih RM130 juta bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.
Presiden Safva Chester Pang (gambar) berkata ia mencerminkan usaha kerajaan untuk terus memperkukuh industri kreatif negara khususnya dalam keadaan ekonomi global yang mencabar di samping membuka peluang pekerjaan dan membawa karya tempatan ke pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, walaupun jumlah yang diumumkan bagi 2027 lebih rendah berbanding angka RM140 juta dalam Belanjawan 2026, penilaian terhadap keberkesanan sesuatu belanjawan tidak seharusnya bergantung pada jumlah peruntukan semata-mata sebaliknya turut mengambil kira pelaksanaan inisiatif dan manfaat sebenar yang diterima oleh penggiat industri.
“Antara perkembangan positif ialah pengumuman pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi tiket tayangan filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.
“Kerajaan juga menyediakan insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia termasuk insentif tambahan bagi karya yang mengetengahkan budaya dan identiti kebangsaan,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Beliau berkata pengecualian duti hiburan berpotensi membantu merangsang kehadiran penonton ke pawagam serta memperbaiki kedudukan komersial filem tempatan, bergantung pada pelaksanaan dan mekanisme manfaat yang diterima oleh penonton, pengusaha pawagam serta penerbit.
“Sabah selama ini tidak mengenakan duti hiburan bagi tiket tayangan pawagam. Bagaimanapun, pengecualian di Wilayah Persekutuan tetap mempunyai potensi manfaat kepada penerbit filem Sabah yang membawa karya mereka untuk ditayangkan di pasaran berkenaan.
“Dengan keupayaan penerbitan filem Sabah yang semakin berkembang dan jangkaan empat hingga lima filem tempatan menembusi pawagam pada tahun hadapan, kita berharap lebih banyak karya anak Sabah dapat mencapai pasaran yang lebih luas serta meningkatkan potensi pulangan kepada penerbit,” katanya.
Chester, yang juga Pengerusi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (Kreatif Sabah), bagaimanapun melahirkan kebimbangan bahawa manfaat peruntukan industri kreatif bagi 2026 masih belum dapat dirasai secara meluas oleh penggiat filem dan muzik di Sabah.
Menurutnya, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pelaksanaan program, peluang pembentangan projek (pitching), akses kepada pembiayaan serta ketelusan maklumat mengenai agihan dana kepada penggiat industri di negeri ini.
“Setakat ini, saya berpandangan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan menyeluruh mengenai manfaat Belanjawan 2026 kepada industri kreatif Sabah. Tahun ini masih belum berakhir dan kita perlu memberi ruang kepada kementerian serta agensi berkaitan untuk melaksanakan program yang dirancang.
“Bagaimanapun, pada awal tahun hadapan saya bercadang mengeluarkan kenyataan susulan berdasarkan statistik dan maklumat yang dapat disahkan mengenai jumlah dana yang berjaya diperoleh oleh penggiat filem, muzik dan industri kreatif Sabah menerusi inisiatif Belanjawan 2026,” jelasnya.
Menurut Chester, sokongan kerajaan kepada industri kreatif perlu diterjemahkan kepada peluang yang lebih seimbang untuk semua negeri termasuk Sabah agar penggiat tempatan bukan sahaja menjadi sebahagian daripada pertumbuhan industri di peringkat nasional malah berupaya membangunkan karya, bakat dan harta intelek sendiri secara berterusan.
“Matlamat kita bukan sekadar melihat angka peruntukan yang besar diumumkan setiap tahun tetapi memastikan dana tersebut benar-benar sampai kepada penggiat industri, mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti penerbitan dan membina ekosistem kreatif yang berdaya saing di Sabah,” katanya.






