Matriks Tahun 4 bukan untuk kejar skor

6 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Matriks Tahun 4 bukan untuk kejar skor

PUTRAJAYA: Seramai 460,771 murid Tahun Empat di seluruh negara menduduki Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) yang diadakan bermula hari ini hingga 8 Oktober, iaitu satu pe­ngukuran tahap pembelajaran murid kali pertama diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP), Ab Aziz Mamat berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang sekiranya anak tidak memperoleh skor yang tinggi kerana MPT4 bukan pe­periksaan atau pentaksiran berimpak tinggi.

Menurut beliau, MPT4 bertujuan mengesan tahap pe
nguasaan murid dalam pembelajaran khususnya dalam aspek literasi dan numerasi bagi membolehkan intervensi awal serta sokongan berfokus dilaksanakan secara lebih berkesan serta menyediakan murid kepada pem­belajaran seterusnya.

“Maklumat pentaksiran ini akan membantu KPM, Jabatan Pendidikan Ne­geri (JPN), Pe­jabat Pendidikan Dae­rah (PPD), sekolah dan guru me­rancang tindakan susulan serta intervensi yang lebih sesuai dengan keperluan pembelajaran murid.

“Maklumat ini juga membantu ibu bapa memberi sokongan pembelajaran di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ab Aziz berkata, ibu bapa juga tidak perlu memberikan tekanan kepada anak-anak untuk memperoleh skor tertentu kerana MPT4 bertujuan melihat tahap pembelajaran murid supaya kekuatan dan aspek yang memerlukan penambahbaikan dapat dikenal pasti.

Justeru, katanya, pelaporan MPT4 sewajarnya dilihat sebagai maklumat untuk membantu perkembangan pembe­lajaran anak, bukannya untuk membandingkan pencapaian antara murid atau sekolah.

Dalam pada itu, beliau ber­kata, intervensi merupakan antara tujuan penting MPT4 apabila dapatan pentaksiran memberikan maklumat yang boleh digunakan oleh sekolah dan guru untuk mengenal pasti tahap penguasaan pembe­la­jaran murid serta aspek yang masih memerlukan sokongan.

“Berdasarkan maklumat ter­sebut, perancangan dan pelaksanaan intervensi ditentukan oleh pihak sekolah mengikut keperluan dan konteks murid masing-masing.

“MPT4 melengkapi maklumat pentaksiran lain yang diperoleh guru melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD),” katanya.

Ab Aziz turut menjelaskan bahawa keputusan MPT4 tidak digunakan sebagai kriteria kemasukan ke sekolah khusus kerana MPT4 bukan peperiksaan pemilihan atau penentuan penempatan murid.

Katanya, kemasukan murid ke sekolah khusus kekal menggunakan kaedah sedia ada me­lalui Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Beliau berkata, ibu bapa dan murid tidak perlu melihat MPT4 sebagai satu pentaksiran yang berimpak tinggi atau perlu mendapatkan markah atau skor yang tinggi.

“Fokus utama MPT4 ialah mengenal pasti tahap pe­ngua­saan pembelajaran murid, me­ngesan jurang pembelajaran dan membolehkan sokongan serta intervensi yang lebih bersasar dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

The post Matriks Tahun 4 bukan untuk kejar skor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved