Matrix Concepts catat peningkatan untung bersih kepada RM64.6 juta disokong kemajuan aktiviti pembinaan
azan
22/08/2023 - 16:57
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung bersih Matrix Concepts Holdings Berhad bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24) meningkat sebanyak 37.3% kepada RM64.6 juta berbanding RM47.04 juta pada suku sama tahun lalu.
Peningkatan itu didorong oleh kemajuan aktiviti pembinaan selepas isu berkaitan kekurangan tenaga kerja dapat diselesaikan.
Hasil kumpulan itu meningkat 44.6% kepada RM331.43 juta pada suku berkenaan daripada RM229.3 juta pada tahun lalu terutamanya didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian pembangunan hartanah kumpulan, yang meningkat sebanyak 46.4% kepada RM321.3 juta pada suku semasa daripada RM219.4 sebelumnya .
“Hartanah kediaman dan komersial membentuk penyumbang hasil utama, berjumlah RM306.3 juta bagi suku dalam tinjauan, meningkat sebanyak 51.7% daripada RM201.9 juta sebelumnya,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, mereka telah melanjutkan momentum jualannya yang kukuh dengan memperoleh jualan hartanah baharu bernilai RM305.3 juta bagi suku tersebut, manakala jualan tidak dibilkan berjumlah RM1.4 bilion pada 30 Jun 2023, memberikan keterlihatan pendapatan yang selamat dalam tempoh 15 hingga 18 bulan.
Ia menjangkakan untuk terus mendapat manfaat daripada aliran permintaan yang sihat pada masa hadapan, terutamanya di Sendayan Developments terdiri daripada Bandar Sri Sendayan, Ara Sendayan dan Tiara Sendayan di Negeri Sembilan, dan Bandar Seri Impian di Kluang, Johor.
Kumpulan itu berkata, cadangan pengambilalihan tanah seluas 559 hektar dalam koridor Lembah Wawasan Malaysia pada 24 Ogos 2022, akan membantu kumpulan itu memanfaatkan permintaan perumahan yang kukuh di Seremban.
Selain itu, kumpulan itu berkata pembangunan Indonesianya, Menara Syariah di Pantai Indah Kapuk 2, Jakarta, Indonesia, yang dijalankan melalui usaha sama dengan konglomerat Indonesia Agung Sedayu Group dan Salim Group, disasarkan untuk siap pada 3QFY24.
“Penyiapan Menara Syariah akan menambah lagi prestasi kewangan kumpulan untuk TK2024 dan akan disusuli dengan pelancaran projek kedua Indonesia kumpulan itu,” katanya. - DagangNews.com

