PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) melancarkan inisiatif TRUST bagi memperkukuh ekosistem industri pelancongan negara melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan advokasi industri.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemain industri mengenai kepentingan amalan pelancongan bertanggungjawab, mekanisme pelaporan yang betul serta kerjasama menyeluruh dalam menangani isu yang menjejaskan sektor pelancongan negara.
Menurut beliau, antara komponen utama TRUST ialah platform berkuasa AI yang dibangunkan untuk membantu orang awam dan pihak berkepentingan industri mengenal pasti serta melaporkan aktiviti pelancongan haram di Malaysia.
"Industri pelancongan kini memerlukan kerjasama lebih kukuh dan penglibatan berterusan antara semua pihak bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan yang dipercayai serta berdaya saing.
"Dengan perkembangan dan evolusi industri pelancongan, amat penting untuk kami seindustri bergerak bersama ke arah profesionalisme, akauntabiliti dan keyakinan pengguna.
"TRUST merupakan sebahagian daripada usaha advokasi jangka panjang MATTA bagi memperkukuh ekosistem pelancongan demi manfaat pemain industri dan pelancong," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pelancaran TRUST berlangsung sempena MATTA Membership Summit 2026 yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Nigel menjelaskan, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha memperkukuh kesedaran industri selain menyokong tindakan menangani aktiviti pelancongan haram di negara ini.
Dalam perkembangan sama, sesi penglibatan kesedaran pertama berkaitan TRUST telah diadakan di Langkawi, Kedah membabitkan lebih 60 ahli MATTA serta pemain industri pelancongan.
Peserta turut diberi penerangan mengenai objektif inisiatif itu selain membincangkan isu semasa industri dan kepentingan penglibatan pemain industri dalam melindungi ekosistem pelancongan negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan AJ Travel & Adventure Sdn Bhd, Johan Brito menyifatkan TRUST sebagai platform yang mampu membantu ejen pelancongan berlesen menyuarakan kebimbangan industri serta menyorot aktiviti pelancongan haram yang menjejaskan perniagaan sah.



