Maut dirempuh pemandu mabuk: MMA gesa dana pampasan diwujudkan

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 6:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian mengenai kemalangan yang meragut nyawa Allahyarham Amirul Hafiz pada Ahad.

PUTRAJAYA – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyifatkan wujud kegagalan sistemik dalam melindungi kebajikan keluarga mangsa kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh (DUI), meskipun undang-undang sedia ada mengenakan hukuman berat terhadap pesalah.

Presidennya, Datuk Dr R Thirunavukarasu, berkata penalti kewangan yang dikenakan ke atas pesalah ketika ini tidak disalurkan secara langsung kepada keluarga mangsa yang terkesan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan keluarga yang kehilangan pencari nafkah terpaksa berdepan tekanan berganda tanpa sokongan mencukupi.

“Keluarga yang kehilangan pencari nafkah sering terpaksa mengharungi proses perundangan yang kompleks, pertikaian insurans berpanjangan serta beban kewangan yang besar, selalunya tanpa sokongan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menegaskan Malaysia ketika ini masih tidak mempunyai mekanisme pampasan khusus bagi mangsa DUI, sama ada melibatkan alkohol atau dadah.

Jelasnya, situasi tersebut menyebabkan keluarga mangsa seolah-olah gagal dilindungi dua kali, pertama akibat insiden yang meragut nyawa dan kedua oleh sistem yang sepatutnya memberi keadilan.

“Akibatnya, keluarga mangsa seolah-olah gagal dilindungi dua kali, iaitu pertama oleh insiden tersebut dan kemudian oleh sistem yang sepatutnya menyampaikan keadilan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Thirunavukarasu berkata, walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan 2020 telah memperketatkan hukuman termasuk penjara dan denda tinggi, langkah itu masih belum mencukupi dari sudut perlindungan kepada mangsa.

Sehubungan itu, MMA menggesa kerajaan menubuhkan Dana Pampasan Mangsa DUI khusus bagi menyediakan bantuan kewangan segera kepada keluarga terjejas.

Selain itu katanya, bantuan guaman mandatori juga perlu disediakan bagi memastikan akses keadilan yang lebih saksama kepada semua pihak.

Dalam pada itu, MMA turut menggesa penguatkuasaan lebih agresif melalui pelaksanaan Op Mabuk secara berterusan sepanjang tahun dengan sekatan jalan raya yang tidak dapat dijangka serta berimpak tinggi.

Menurut beliau, saringan rutin bukan sahaja perlu melibatkan alkohol, tetapi juga dadah yang boleh menjejaskan keupayaan pemanduan.

Mengulas risiko DUI, beliau berkata walaupun statistik rasmi menunjukkan kes pemanduan mabuk menyumbang kurang daripada 0.5 peratus kemalangan maut, setiap kematian yang boleh dicegah tetap tidak boleh diterima.

“Walaupun satu kematian yang boleh dicegah tidak boleh diterima. Setiap kes mewakili kehilangan nyawa yang tidak dapat diganti serta kemusnahan sebuah keluarga,” katanya.

Tambah beliau, bukti daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan pemandu mabuk adalah 13 kali lebih berkemungkinan menyebabkan kemalangan.

Katanya, risiko itu menjadi lebih tinggi apabila alkohol dan dadah digunakan secara serentak, sekali gus menjadikan DUI sebagai ancaman nyata terhadap keselamatan awam.

Dalam masa sama, MMA mencadangkan agar had kandungan alkohol dalam darah (BAC) diturunkan selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selain mewajibkan program pemulihan kepada pesalah.

Beliau turut menegaskan keperluan kempen pendidikan awam berterusan bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya DUI dalam semua bentuk.

“DUI bukan isu bermusim, sebaliknya risiko nasional berterusan yang memerlukan respons menyeluruh dan terselaras,” ujarnya.

MMA dalam pada itu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut akibat insiden DUI.

Dr Thirunavukarasu berkata, keadilan tidak boleh terhenti pada hukuman semata-mata.

"Ia mesti merangkumi perlindungan, sokongan dan maruah untuk keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul Hafiz maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

Katanya, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa menyebabkan mangsa tercampak di atas kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.