
TEMERLOH – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum mangsa tercampak ke atas cermin hadapan MPV dan diseret sejauh kira-kira 20 meter di Kilometer 138 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu berlaku ketika mangsa, K Paramasivan, 48, dalam perjalanan dari Lanchang menuju ke Mentakab, manakala kereta dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Lanchang.
“Apabila sampai di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan jenis Perodua Alza.
“Penunggang motosikal tercampak ke atas cermin hadapan MPV dan jatuh lalu terseret kira-kira 20 meter,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, akibat kemalangan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya siasatan awal.mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus serta rata dan semasa kejadian cuaca adalah baik.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Maut tercampak atas MPV sebelum diseret 20 meter appeared first on Kosmo Online.






