TEMERLOH - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 138 Jalan Kuala Lumpur - Kuantan di sini pada Jumaat.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa, K Paramasivan, 48, beralamat dari Jalan Mempateh, Lanchang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pemandu MPV jenis Perodua Alza berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas 110 itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Lanchang menghala ke Jalan Jelutong, Mentakab.
"Pemandu MPV pula dalam perjalanan pulang dari arah Temerloh ke rumahnya di Batu 7, Lanchang.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV," katanya.
**media[3644632]**
Mohd Nasyim berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh tercampak ke atas cermin hadapan MPV sebelum jatuh dan terseret kira-kira 20 meter.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.
Jelas beliau, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






