Maxeon jual loji panel solar antara terbesar di Melaka, fokus pasaran AS

29/04/2025 - 15:52
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 29 April — Maxeon Solar Technologies (Sunpower) Sdn Bhd mengiklankan penjualan tapak perindustriannya termasuk loji panel solar yang antara terbesar di Melaka untuk memberi tumpuan kepada pasaran Amerika Syarikat (AS).
Tapak itu yang merangkumi kilang pembuatan, merupakan hab perindustrian terbesar di negeri tersebut berkeluasan 50 hektar dan terletak di Melaka World Solar Valley, kira-kira 17 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka.
Syarikat yang berpangkalan di Singapura itu sebelum ini dikenali sebagai SunPower Malaysia Manufacturing Sdn Bhd, dengan terlibat aktif dalam aktiviti mereka bentuk dan mengeluarkan produk serta rumusan solar di peringkat global.
Kawasan tersebut telah disenaraikan menerusi laman web rasmi Invest Melaka iaitu agensi penggalakkan pelaburan di bawah kerajaan negeri berkenaan dan diiklankan untuk dijual oleh ejen pemasaran eksklusif, Savills Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Savills, Datuk Paul Khong mengesahkan penyenaraian itu tetapi enggan mendedahkan pemilik tanah berkenaan serta memaklumkan yang tapak kilang seluas 74,322 meter persegi tersebut sebagai peluang kukuh.
Beliau berkata, hartanah itu boleh menarik minat daripada pengendali pusat data serta pengeluar asing yang ingin berpindah ke Melaka disebabkan isu ketegangan tarif AS masih berterusan dengan China dan Vietnam.
"Kadar tarif dikenakan AS sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia agak rendah berbanding Vietnam iaitu 48 peratus dan ini ialah kelebihan tambahan untuk pelabur berpotensi yang mengintai pengembangan industri," katanya.
Kawasan berkenaan juga tambah beliau, sudah dikenali menjadi tuan rumah kepada syarikat industri utama seperti Honda Assembly, United Detergent Industries, Yihin Glass and Aluminium, Chestronics dan Erreppi Manufacturing.
Bagaimanapun setakat ini, Maxeon belum mengesahkan mengenai iklan penjualan itu dan masih mengekalkan operasi di lebih 100 negara, dengan kilangnya di Melaka pula telah menghasilkan produk sel solar termaju sejak Julai 2011.
Syarikat tersebut sebelum ini pernah mengumumkan pada awal April 2025 bahawa ia akan memberi tumpuan semata-mata kepada pasaran AS berikutan penstrukturan semula perniagaan yang strategik di negara berkenaan.
Pada 2024, Maxeon menjual operasi pemasaran globalnya kepada firma induknya di China, TCL Group dan merancang untuk memindahkan tapak pembuatan di Filipina kepada entiti baharu yang dipanggil TCL SunPower International. - DagangNews.com
standard
