
KUALA LUMPUR – Dua syarikat pengendali e-hailing, Aist Malaysia Sdn Bhd (Maxim) dan ID Applications Sdn Bhd (InDrive) diberi amaran keras agar mematuhi syarat perkhidmatan termasuk keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) untuk beroperasi di negara ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, syarikat-syarikat tersebut kini masih berada dalam tempoh pemantauan selama tiga bulan dan sekiranya keperluan berkenaan gagal dipatuhi, lesen mereka boleh digantung atau dibatalkan.
“Namun, kita lihat mereka telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan. Jadi biasanya kesalahan pertama kita bagi peluang untuk menambah baik dan memperbetulkan.
“Jadi jadi kalau mereka masih langgar syarat-syarat itu, baru kita gantung lesen ataupun kita batalkan lesen mereka,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bas.My Kota Setar di Alor Setar, Kedah hari ini.
Semalam, Scoop melaporkan rasa tidak puas hati Persatuan Pemandu E-hailing Utara (NeHDA) kerana kedua-dua syarikat dari Rusia itu dibenarkan beroperasi meskipun telah melanggar syarat EVP.
Pengerusinya, Zabidi Bahador berkata, sikap berlembut terhadap syarikat yang melanggar undang-undang Malaysia boleh menjejaskan integriti sistem pengangkutan awam negara.
“Kami tidak akan berdiam diri apabila syarikat asing yang terbukti melanggar syarat EVP dibenarkan terlepas begitu sahaja, sedangkan syarikat tempatan yang patuh dikenakan sekatan dan keperluan pematuhan yang lebih ketat,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata pihaknya memandang serius kesalahan beroperasi tanpa pematuhan terhadap keperluan EVP sebelum ini, namun kementerian pada masa sama memahami dan mengambil kira kesan kepada pemandu serta pengguna kedua-dua syarikat e-hailing terbabit.
“Jadi kalau kita tutup terus tanpa memberikan peluang kepada mereka menambah baik, maka akan ada pula penumpang yang membuat aduan,” katanya.
Pada April lalu, Apad telah mengeluarkan notis pembatalan kepada Aist Malaysia Sdn Bhd (Maxim) dan ID Applications Sdn Bhd (InDrive), berkuat kuasa 24 Julai, susulan audit pematuhan yang mendapati kedua-dua syarikat itu melanggar peraturan kerana membenarkan pemandu beroperasi tanpa EVP yang sah.
Berikutan itu, kedua-dua syarikat berkenaan membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan telah disyaratkan untuk mengambil tindakan pembetulan sebelum 24 Julai bagi kelangsungan perkhidmatan masing-masing.
Pada 23 Julai, Apad mengumumkan Maxim dan InDrive dibenarkan untuk terus beroperasi di bawah pemantauan selama tiga bulan selepas rayuan mereka terhadap Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) berjaya. - 28 Julai, 2025
The post Maxim, InDrive diberi amaran keras patuhi syarat perkhidmatan: Loke appeared first on Scoop.

