Maxis, Hewlett Packard Enterprise tawarkan rangkaian dikuasai AI kepada perusahaan Malaysia 

LocalTechnology
3 Sep 2024 • 12:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maxis, Hewlett Packard Enterprise tawarkan rangkaian dikuasai AI kepada perusahaan Malaysia

syaza

03/09/2024 - 12:44

KUALA LUMPUR 3 Sept - Maxis dan Hewlett Packard Enterprise bekerjasama bagi menawarkan rangkaian dikuasai kecerdasan minda (AI) kepada pelanggan perusahaan melalui Maxis Business.

Menerusi kerjasama itu, Maxis akan memanfaatkan perkhidmatan HPE Aruba Networking Central dengan AIOps (kecerdasan buatan untuk operasi IT) bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan dan perkhidmatan ICT yang lebih cekap seperti rangkaian 4G LTE dan 5G persendirian, rangkaian kawasan luas ditentukan perisian (SD-WAN) dan WiFi perniagaan.



Menurut kenyataan hari ini, Maxis berkata, dengan menerusi asas keselamatan kepercayaan sifar oleh HPE Aruba Networking, setiap pengguna dan peranti dalam rangkaian akan melalui pengesahan secara berterusan bagi meningkatkan keselamatan.

"Ini akan memanfaatkan keupayaan teknologi AI bagi mengenal pasti semua peranti yang bersambung, menyokong pengaturan polisi berasaskan identiti di seluruh rangkaian.

"HPE Aruba Networking Central dengan AIOps membolehkan rangkaian berkeupayaan AI menyampaikan analitik dikuasakan oleh AI, automasi dan pengaturan hujung ke hujung, serta fungsi keselamatan canggih bagi mengoptimumkan prestasi dan perlindungan rangkaian.

"Rumusan tersebut boleh membantu perniagaan untuk mengenal pasti isu secara proaktif, mengurangkan rumusan masalah kaedah manual, dan mengoptimumkan prestasi rangkaian secara berterusan untuk meningkatkan pengalaman pengguna," ujar Maxis.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine berkata, kerjasama antara Maxis dan HPE akan mengukuhkan keselamatan untuk perniagaan-perniagaan Malaysia.

"Kerjasama ini memperbanyakkan perkhidmatan rangkaian terurus sedia ada Maxis Business, memberikan perniagaan pilihan daripada pelbagai rumusan rangkaian dan keselamatan yang terkemuka serta disesuaikan kepada keperluan khusus mereka.

"Ini termasuk rangkaian penyelesaian HPE yang luas, merangkumi perkhidmatan rangkaian dari akses ke pinggir ke teras serta ciri keselamatan yang telah diintegrasikan," ujar beliau.

Pengurus Besar HPE Aruba Networking untuk Asia Tenggara, Taiwan, Hong Kong dan Macau, Magic Hsu berkata, kerjasama itu tepat pada masanya dengan peningkatan dalam penggunaan rangkaian berasaskan awan.

"Kerjasama kami bersama Maxis akan mengatasi kerumitan transformasi digital yang dialami oleh perusahaan di Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan yang dikuasakan oleh AI, untuk menyediakan pengalaman yang selamat," ulas beliau.- DagangNews.com