Maxis Home Solar Kini Ditawarkan Secara Pembelian Terus

LocalTechnology
11 May 2026 • 4:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sistem pengecasan solar selalu dilihat hadir dengan tanda harga yang mahal, dan secara lazimnya memperlihatkan pembayaran untuknya melalui langganan jangka masa panjang, kebiasaannya selama 10 tahun.

Terkini, untuk mereka yang mampu untuk membelinya secara terus ataupun melalui tempoh pembayaran yang lebih pendek, Maxis telah mula menawarkan perkhidmatan Maxis Home Solar mereka secara pembelian terus ataupun tempoh pembayaran selama 36 bulan.

Image from: Maxis Home Solar Kini Ditawarkan Secara Pembelian Terus

Pembelian secara terus dilihat lebih bersesuaian untuk mereka yang mampu untuk membelinya, dan hadir dengan harga permulaan RM20,450 ataupun RM570 untuk 36 bulan, bergantung kepada saiz rumah dan juga jumlah penggunaan tenaga elektrik bulanan. Bagi mereka yang lebih selesa untuk membayar secara ansuran, pembayaran dalam tempoh 36 bulan ini juga akan hadir dengan janji faedah 0 peratus apabila pembayaran dilakukan dengan rakan perbankan Maxis.

Menurut Maxis lagi, pembelian secara terus ini boleh memberikan pelanggan penjimatan penggunaan tenaga elektrik setinggi 80 peratus, dan ini membolehkan mereka untuk mendapatkan kembali pelaburan yang dilakukan keatas sistem pengecasan solar ini dalam tempoh tiga ke lima tahun sahaja.

Image from: Maxis Home Solar Kini Ditawarkan Secara Pembelian Terus

Maxis berkata bahawa pembelian terus pengecasan solar Maxis Home Solar akan hadir dengan insurans, pembaikpulihan dan pemantauan tiga tahun secara percuma. Untuk pembelian yang dilakukan sebelum 31 Mei 2026, pengguna akan boleh memilih untuk mendapatkan tambahan insurans, pembaikpulihan dan pemantauan dua tahun secara percuma, ataupun mendapatkan kredit Touch’n’Go eWallet sebanyak RM1000.

Anda boleh melawati laman web Maxis Home Solar untuk mendaftar minat dan mendapatkan rundingan awal tentang saiz panel solar manakah yang paling sesuai untuk rumah anda.