Vibe Mobile merupakan pembekal rangkaian MVNO baru di Malaysia yang kini hadir dengan penawaran rangkaian 4G dan 5G untuk pelbagai jenis pengguna dan buat masa ini menawarkan perkhidmatan telekomunikasi melalui langganan pra-bayar, dan akan melancarkan pelan pascabayar mereka kelak.

Baru-baru ini, ia telah disahkan bahawa Vibe Mobile menggunakan perkhidmatan infrastruktur rangkaian internet mudah-alih UMobile untuk kedua-dua rangkaian domestik dan perantauan pelanggan-pelanggan MVNO tersebut.

Penggunaan rangkaian UMobile membolehkan Vibe Mobile untuk memfokuskan terhadap aspek lain perkhidmatan mereka seperti penawaran pelan, pemasaran dan pelbagai perkhidmatan lain yang boleh ditawarkan mereka.
Kerjasama ini juga adalah sebahagian daripada usaha U Mobile yang lebih meluas untuk membina ekosistem rakan kongsi yang lebih dinamik, berlandaskan rangkaian 5G generasi seterusnya. Direka untuk skala dan fleksibiliti, U Mobile membolehkan rakan kongsi memanfaatkan ketersambungan yang stabil dan lancar untuk membawa perkhidmatan mudah alih dan digital baharu ke pasaran secara lebih pantas.

Pelan pra-bayar Vibe hadir dengan beberapa pilihan dari RM17 sebulan sehingga RM47 dengan penawaran had data dan panggilan yang berbeza. Satu kelebihan yang diperlihatkan oleh penawaran Vibe Mobile ialah nampaknya lebihan data yang tidak digunakan boleh digunakan pada bulan yang seterusnya.
Dalam pada itu, kesemua pelan-pelan ini tidak terikat dengan sebarang kontrak, dan boleh ditamatkan pada bila-bila masa sahaja. Cuma buat masa ini, anda hanya boleh membeli kad SIM Vibe Mobile ini melalui pengedar-pengedar fizikal sahaja.

Vibe Mobile telah menerima lesen untuk beroperasi sebagai syarikat telekomunikasi MVNO pada September 2025, dan telah memulakan penawaran perkhidmatan mereka pada bulan April 2026. Setakat ini, mereka melaporkan mempunyai 50 ribu pelanggan di seluruh Malaysia termasuklah di Sabah dan Sarawak.




