Maxis jelas menonjol pilihan utama rangkaian 5G kedua - RHB Investment

LocalTechnology
4 Sep 2024 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maxis jelas menonjol pilihan utama rangkaian 5G kedua - RHB Investment

herman

04/09/2024 - 09:44

KUALA LUMPUR 4 Sept - Maxis Berhad jelas menonjol sebagai pemohon pilihan utama untuk meraih spektrum rangkaian 5G kedua, kata RHB Investment Bank.

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan tender rangkaian 5G kedua dijangka diumumkan sebelum suku tahun keempat 2024 (4Q24) dengan spektrum rangkaian akan ditawarkan mengikut penguntukan radas.

"Fasa penilaian bagi rangkaian 5G kedua masih berjalan. Empat syarikat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) sudah menghantar tender mereka untuk spektrum 5G (TM, Maxis, Celcom Digi Berhad dan U Mobile).

"Bagi kami, Maxis jelas menonjol sebagai pemohon pilihan utama untuk meraih spektrum rangkaian 5G kedua ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada iu, RHB Investment bekata, penghantaran permohonan tender Telekom Malaysia Berhad (TM) berkemungkinan tidak dapat melepasi kelayakan yang diperlukan setelah perjanjian langganan saham untuk Digital Nasional Berhad (DNB) terbatal.

"Sungguhpun begitu, pihak pengurusan percaya ia masih memainkan peranan penting dalam ekosistem rangkaian 5G negara selaku pencari capaian 5G.

"Mengikut pandangan kami, ketiadaan TM dalam ekuiti DNB mahupun dalam rangkaian 5G kedua tidak mendatangkan apa-apa kegusaran memandangkan peluangnya lebih cerah dalam menawarkan capaian angkut balik gentian 5G borong kepada syarikat pemilik rangkaian 5G," jelasnya.

Mengenai keputusan kewangan sektor telekomunikasi pada 2Q24, RHB Investment berkata, syarikat-syarikat berkaitan dilihat mencatat keputusan teras suku tahun kewangan yang baik.

Katanya, ini berdasarkan langkah kawalan kos yang bagus, sinergi penggabungan Celcom Digi lebih baik dan persaingan yang sengit.

"Pihak MNO terus bersaing dalam tawaran pakej mudah alih gentian dengan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) lebih rendah untuk pelan permulaan.

"Kami bertindak menaikkan ramalan kami untuk Celcom Digi dan Maxis selepas keputusan diumumkan, dan anggaran untuk OCK pula direndahkan.

"Risiko-risiko utama ialah persaingan, perolehan lebih lemah daripada yang disangka, dan kekangan kawal selia. Saranan 'NEUTRAL' kekal," katanya. - DagangNews.com