Maxis, UiTM bekerjasama hasilkan kandungan pembelajaran digital eKelas

16 May 2023 • 3:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maxis, UiTM bekerjasama hasilkan kandungan pembelajaran digital eKelas

zulfadli

16/05/2023 - 15:17

KUALA LUMPUR 16 Mei - Maxis dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bekerjasama untuk menghasilkan kandungan pembelajaran digital berkualiti tinggi bagi program komuniti utama Maxis, eKelas.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, kerjasama dengan Maxis membolehkan pelajar-pelajar meneroka potensi dalam penyediaan kandungan dan meningkatkan pengetahuan dalam penghasilan kandungan digital dengan bimbingan daripada pakar dalam bidang itu.

"Ia sejajar dengan komitmen untuk menyediakan pendidikan inovatif kepada pelajar-pelajar kami. Kami harapkan kerjasama ini membuahkan kejayaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng pula berkata, kandungan pembelajaran sentiasa menjadi pendorong penting bagi program eKelas untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.

"Maxis gembira dapat berkolaborasi dengan universiti tersebut dalam kerjasama saling menguntungkan ini yang akan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar eKelas dan UiTM," katanya.

Dengan sokongan pensyarah-pensyarah kanan dan pakar disediakan Maxis, pelajar-pelajar UiTM akan menghasilkan sehingga 100 video Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris, yang akan dimuat naik ke portal dan aplikasi eKelas setelah video-video tersebut melalui proses semakan.

Video-video tersebut akan dihasilkan dalam bentuk peranan watak kehidupan sebenar, eksperimen, dan animasi untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik bagi pelajar-pelajar eKelas, sambil membolehkan pelajar-pelajar UiTM memperolehi pengalaman praktikal berharga dalam pembangunan kandungan.

Tahun lalu, Maxis dan UiTM menjalankan bengkel perintis untuk menghasikan video-video pembelajaran bagi menguji proses pembangunan kandungan serta kriteria semakan dan penyuntingan.

Maxis eKelas ialah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5, yang mana program ini membawa pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan menyediakan akses kepada kandungan pendidikan yang berkualiti, selaras dengan sukatan pelajaran Malaysia.

Bertumpukan kepada Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, pelajar eKelas didedahkan kepada pembelajaran berasaskan gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas.

Setakat ini, terdapat lebih daripada 75,000 pelajar yang telah mendaftar di portal eKelas.

Baru-baru ini, Maxis menambahkan dua mata pelajaran baru ke platform eKelas iaitu Bahasa Malaysia dan Sejarah untuk pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

Platform tersebut juga diperbaharui dengan muka yang lebih segar dan mesra pengguna, dan termasuk cadangan pembelajaran diperibadikan dengan analisis prestasi, serta sistem ganjaran.


Pelajar-pelajar digalakkan mendaftar secara percuma dengan eKelas di www.ekelas.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih eKelas di App Store atau Google Play. - DagangNews.com