BBEA, Royale Fiesta perkasa perniagaan Bumiputera menerusi penganjuran fiesta beli-belah mulai 25 hingga 27 Mei 2023
zulfadli
16/05/2023 - 09:18
KUALA LUMPUR 16 Mei - Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) bekerjasama dengan Royale Fiesta untuk meningkatkan usahawan dan ibu tunggal daripada kumpulan B40 dan M40 dalam perniagaan.
BBEA dan Royale Fiesta dalam kenyataan berkata, kerjasama itu juga sebahagian usaha untuk meluaskan jangkauannya dan membawa pengiktirafan kepada usahawan dan perniagaan dari Malaysia.
Katanya, BBEA telah mengiktiraf kejayaan lebih daripada 130 perniagaan dan usahawan terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selebriti dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejak penubuhannya.
"Jenama ini juga telah disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas inisiatif untuk mengiktiraf perniagaan milik Bumiputera di Malaysia.
"Kerjasama itu menandakan inisiatif 'one-of-a-kind' yang mana dua jenama akan bekerjasama untuk mewujudkan platform terdiri daripada pelbagai syarikat dan usahawan untuk Bumiputera serta berkongsi kepakaran mereka, dengan Kelantan menjadi kaki pertama jangkauan," katanya.
Dalam pada itu, fiesta membeli-belah dijadualkan berlangsung di Kelantan dari 25 hingga 27 Mei 2023 dengan seramai 200 vendor mempamerkan pelbagai produk dan 20 usahawan selebriti terkenal yang telah mencipta nama dengan produk mereka di Malaysia.
Fiesta selama 3 hari itu akan berakhir dengan penyampaian anugerah eksklusif oleh BBEA selaras dengan tema jenama, 'Memperjuangkan Kecemerlangan, Meraikan Kebersamaan'.


Ini bagi mereka mengiktiraf dedikasi serta ketabahan luar biasa usahawan yang sentiasa selangkah ke hadapan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi. - DagangNews.com

