KUALA LANGAT - Satu mayat bayi yang dibalut dengan kain dijumpai di rumah sampah blok asrama sebuah institusi pendidikan di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan diterima pihaknya kira-kira jam 12.20 tengah hari daripada seorang lelaki tempatan berkenaan penemuan terbabit.
"Berikutan itu, siasatan membawa kepada tangkapan seorang penuntut perempuan institusi terbabit berusia belasan bagi membantu siasatan.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.



