Mayat bayi ditemui dalam tandas stesen minyak di Sabak Bernam

24 Mar 2025 • 9:42 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Orang ramai di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi dalam mangkuk tandas wanita pada tengah hari, semalam, Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari daripada orang awam yang menjumpai mayat tersebut.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada jam 11.15 pagi,” katanya memetik laporan Sinar Harian

Siasatan awal mendapati kamera CCTV berjaya merakam dua wanita memasuki tandas, salah seorang daripadanya kelihatan sedang sarat mengandung. Mereka dilihat menaiki sebuah Perodua Bezza berwarna biru, namun nombor pendaftaran kenderaan itu tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.

Polis kini sedang mengesan kedua-dua individu terbabit kerana disyaki terlibat dalam cubaan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara senyap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun, dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali,” jelas Md Yusof.

Polis turut meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452.

Penemuan menyayat hati itu tular di media sosial selepas beberapa gambar lokasi kejadian dimuat naik oleh pengguna Facebook, mencetuskan kemarahan ramai terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan itu.