Mayat Dalam Peti Sejuk: Polis Sahkan Punca Kematian Akibat Kecederaan Di Dada, Dihentak Objek Tumpul

LocalPolitics
21 Nov 2024 • 4:14 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Laporan awal bedah siasat ke atas mayat seorang wanita warga emas yang disumbat dalam peti sejuk beku mendapati bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan hentakan daripada objek tumpul di bahagian dada mangsa.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis masih menunggu laporan penuh dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Laporan penuh bedah siasat masih belum diperoleh. Bagaimanapun laporan awal mengesahkan wanita itu meninggal dunia akibat kecederaan pada dada akibat objek tumpul iaitu chest injuries due to blunt trauma.”

Namun, Rusdi menyatakan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan tempoh sebenar kejadian kerana perkara itu hanya dapat disahkan menerusi analisis kimia yang akan dikemukakan menerusi laporan penuh bedah siasat.

image is not available

Dalam pada itu, mayat mangsa sudah dituntut suaminya kira-kira jam 9 pagi tadi dari Jabatan Forensik PPUM. Sementara itu, suspek sudah discaj dari PPUM selepas menerima rawatan dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Katanya, polis setakat ini sudah merakam percakapan sembilan individu termasuk jiran mangsa. Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang lelaki dipercayai membunuh ibu kandungnya yang berusia 80-an sebelum disumbat dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Taman OUG.

image is not available

Perkara itu terbongkar selepas suspek yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa dipercayai dibunuh suspek pada Mac 2021. Oleh itu, polis menahan anak lelaki mangsa yang berusia 53 tahun dan tahanan reman disambung hingga 26 November ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber : Astro Awani

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.