Mayat Ditanam: Bapa Disyaki Bunuh Anak Direman Di Jempol Selama Seminggu

LocalPolitics
1 Aug 2025 • 12:18 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang lelaki berusia 36 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan anak lelakinya berusia enam tahun di Rompin, direman tujuh hari bagi membantu siasatan polis.

Bapa disyaki bunuh anak guna pengikat kabel

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, perintah reman dikeluarkan Majistret Norshazwani Ishak di Mahkamah Majistret Jempol, hari ini.

image is not available

Foto: BH

“Suspek dibawa ke mahkamah pagi ini selepas ditahan berhubung penemuan mayat kanak-kanak lelaki yang ditanam di Rompin. Mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan,” katanya.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah diiringi anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Jempol.

Suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol semalam selepas tamat tempoh reman di Johor.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Suspek sebelum ini direman Polis Johor sejak Jumaat lalu bagi siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga serta kes orang hilang.

Siasatan kes bunuh pula dikendalikan Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Kes ini mendapat perhatian selepas mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Julai lalu ditemui ditanam di kawasan Rompin pada Isnin.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher menggunakan pengikat kabel.

Sumber: Berita Harian (Ahmad Hasbi)