Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Satu penemuan menggemparkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) pagi tadi apabila satu mayat tanpa identiti ditemui dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat yang baru tiba dari Tokyo, Jepun.
Kejadian itu disedari oleh seorang kakitangan kejuruteraan yang ditugaskan untuk memeriksa bahagian tersebut. Ketika menghampiri ruang simpanan itu, pekerja tersebut terhidu bau busuk dan mencurigakan.
Sebaik sahaja pintu ruang simpanan itu dibuka, dia menemui satu jasad tidak bernyawa di dalamnya sebelum melaporkan perkara itu kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA2.
Menurut laporan, mayat dengan berpakaian seluar jeans dan baju putih itu ditemui kira-kira jam 6.55 pagi tadi.
Artikel berkaitan: Terlupa Makan Ubat, Pelancong China Bertindak Agresif & Berlari Di Balai Perlepasan KLIA
Artikel berkaitan: KLIA Kecoh! Individu Buat Ancaman Palsu Ditahan Polis, Beg Disangka Mengandungi Bahan Let*pan
Pasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian dipanggil ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa dianggarkan berusia lingkungan 20-an dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih daripada 72 jam.
Buat masa ini, identiti mangsa masih menjadi misteri kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca sebenar kematiannya.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





