Mayat Ditemukan Dalam Beg Dipercayai Wanita Hilang Di Ampang

19 Dec 2025 • 8:07 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

SEREMBAN – Mayat ditemukan dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, di sini dipercayai wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor, sejak 8 Dis lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima laporan berhubung kehilangan wanita itu di Balai Polis Ampang, Ampang Jaya, pada Isnin.

Beliau berkata laporan terbabit diserahkan kepada Balai Polis Pedas, Rembau hari ini sebelum menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi yang dikesan terdapat pelakuan jenayah.

“Berdasarkan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah, polis menemukan satu beg mengandungi mayat seorang wanita yang ditanam di kawasan belakang rumah itu.
“Prosedur bedah siasat akan dijalankan esok dan polis kini sedang giat menjalankan siasatan serta mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau menerusi talian 06-6852222.

Alzafny hari ini mengesahkan penemuan mayat wanita itu, namun identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

Media sebelum ini melaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang wanita berusia 53 tahun yang dilaporkan hilang sejak 8 Dis lepas selepas ibu saudaranya membuat laporan di Balai Polis Ampang berhubung kehilangan itu pada Isnin lepas.

Sumber: BERNAMA

The post Mayat Ditemukan Dalam Beg Dipercayai Wanita Hilang Di Ampang appeared first on The Malaysian Update.