
BALING: Mayat lelaki dengan kesan tetakan di bahagian tengkuk ditemukan tertiarap di tepi jalan berhampiran kawasan kebun getah di laluan Kampung Sirako-Tebing Tinggi, Kupang dekat sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berkenaan penemuan mayat itu pada 9.30 pagi.
“Tiada pengenalan diri ditemukan pada mangsa berusia lingkungan awal 40-an itu yang dipercayai warga asing kerana tiada tanda suntikan pada lengannya.
“Mayat ditemukan dalam kawasan semak samun di tepi kebun getah...turut dijumpai sebuah motosikal jenis Suzuki Best yang tumbang pada jarak kira-kira satu meter dari mayat mangsa,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Shamsudin berkata polis menahan enam lelaki termasuk lima warga asing di kawasan kebun sayur kira-kira dua kilometer dari tempat mayat ditemukan.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan selain lima warga asing yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. -Bernama
