KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki dipercayai lemas ditemukan terapung di Sungai Kerayong, Jalan Cheras di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki tanpa identiti itu kira-kira jam 5.13 petang.
Menurutnya, sepasukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pasukan perubatan bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki dianggarkan berumur bawah 30 tahun.
"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia akibat lemas dalam tempoh dua hingga tiga hari lalu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Rosdi berkata, pemeriksaan fizikal dijalankan pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagaimanapun tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuh badan mangsa.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.






