TAIPING - Mayat seorang lelaki ditemui dalam longgokan sampah di tebing Sungai Jebong di sini pada Ahad.
Mangsa ditemui oleh orang awam sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dihubungi sekitar jam 6.45 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota yang tiba di lokasi kejadian dimaklumkan oleh polis bahawa mayat mangsa tersangkut pada longgokan sampah di bahagian tebing sungai berkenaan.
“Ketua operasi kemudian menjalankan penilaian situasi sebelum mengarahkan anggota turun ke tebing sungai untuk mengeluarkan mangsa.
“Mayat mangsa berjaya dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan awal polis mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.
"Operasi melibatkan sembilan anggota itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam," katanya.





