KOTA KINABALU - Mayat seorang lelaki yang belum diketahui identitinya ditemukan terapung di perairan Kampung Pulau Gaya dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama pasukan forensik telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut dan proses mengangkat mayat.
"Setakat ini, identiti individu tersebut masih belum dapat dikenal pasti. Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Kasim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan ahli keluarga atau individu yang dipercayai berkaitan dengan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.
"Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden La Paula Abdul Muis di talian 011-64115848 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.
Katanya lagi, perkembangan lanjut kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas laporan bedah siasat diperoleh.






