Mayat Pasangan Suami Isteri Bersama Anak Ditemui Mereput Dalam Rumah

2 Jul 2025 • 10:36 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bau busuk yang dihidu jiran di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, Seremban pada petang semalam (2 Julai) membawa kepada penemuan mayat tiga beranak yang sedang mereput.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din berkata, Ketua Balai Polis Jalan Campbell bersama pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.

Menurutnya, pihak bomba juga terpaksa bertindak memotong mangga pagar rumah terbabit untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Mayat pasangan suami isteri dan anak ditemui

“Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam bilik tidur, merupakan ahli keluarga iaitu bapa berusia 61 tahun, ibu 59 tahun dan anak lelaki 30 tahun,” katanya dipetik Kosmo.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

“Hubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 06-6033222,” katanya lagi.

image is not available
Foto: Kosmo

Salah seorang mangsa ditemui jiran pada Jumaat lalu

Sementara itu, seorang jiran yang ditemui di lokasi memberitahu kali terakhir menemui salah seorang mangsa pada Jumaat lalu.

“Jumaat lepas mangsa datang ke rumah saya untuk memberi makan anjing. Selepas itu saya tidak nampak dia lagi. Saya sangka mereka tiada di rumah atau keluar.

“Petang tadi, jiran sebelah rumah mangsa telah menghubungi polis selepas menghidu bau busuk dari rumah tersebut,” ujarnya.

Ada kesan torehan pada tangan si anak

Sementara itu, menurut Berita Harian yang memetik Bernama, pemeriksaan forensik mendapati ada kesan torehan pada lengan kanan anak, namun tiada sebarang tanda mencurigakan pada mayat ibu bapanya.

Mayat anak lelaki dan ibu bapanya itu kemudiannya dihantar ke Hospital Rembau bagi mengenal pasti punca kematian.

Namun setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara laporan penuh bedah siasat dikeluarkan.

“Turut ditemui empat pisau terdapat kesan darah dipercayai digunakan semasa kejadian serta pelbagai jenis ubat yang telah digunakan di atas meja ruang tamu rumah tersebut,” kata Hatta.

Source: