Mayat separuh bogel ditemui di lebuh raya

25 Jun 2026 • 4:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mayat separuh bogel ditemui di lebuh raya
Mayat separuh bogel dipercayai warga tempatan ditemui di tepi lebuh raya. Foto hiasan

ALOR GAJAH - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki separuh bogel di KM 198.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, awal pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 6.30 pagi mendapati mangsa telah meninggal dunia di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang masih belum dikenal pasti identitinya dan dianggarkan berusia lingkungan 40-an.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan berpakaian tidak lengkap serta mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dilanggar oleh sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

Bagaimanapun katanya, punca sebenar kejadian dan kematian mangsa masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat bagi menentukan punca kematian serta membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ketika melalui lokasi sekitar KM198.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara antara jam 5.30 pagi hingga 6.30 pagi pada 25 Jun 2026 diminta tampil membantu siasatan.

Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Loh Xia Gao atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Alor Gajah.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved