Mayat wanita dipercayai lemas ditemukan di Pantai Tanjung Bidara

29 Oct 2024 • 4:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

ALOR GAJAH: Mayat seorang wanita, dipercayai mati lemas ditemukan terdampar di tepi Pantai Tanjung Bidara oleh orang awam, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata mangsa berusia 40 tahun, dikenal pasti sebagai Maszura Mahat dari Kampung Londang, Masjid Tanah di sini, ditemukan pada kira-kira 7.25 pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan meniarap dan berpakaian renang, sementara beberapa barangan peribadi mangsa seperti seperti selipar, ‘sweater’ dan kunci chalet dijumpai di atas tambak batu pantai.

“Semakan di chalet berhampiran mendapati mangsa baharu sahaja daftar pada dua hari lepas dan menginap selama dua hari seorang diri di chalet berkenaan,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata menurut ahli keluarga mangsa, wanita berkenaan sering melancong seorang diri dan pemeriksaan ke atas tubuh mangsa juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah, dan tiada barangan peribadinya yang dilaporkan hilang.

Mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.